Aisha Retno & Ado Govinda Sentuh Jiwa Dengan “Semoga Saja”
- Atiqah Halim
- 17 minutes ago
- 1 min read
Kalau sebut nama Aisha Retno, confirm ramai dah kenal. Gadis bersuara emas ini pernah gegarkan kita dengan lagu-lagu jiwa seperti Mengikat Jiwa, Nukilanku, W.H.U.T, Pencarianku dan Sutera. Dari mula melangkah dalam industri pada 2018, sampailah wajahnya terpampang di papan iklan digital Times Square New York yang membuktikan perjalanan seninya semakin kukuh.
Pernah menjadi duta Spotify EQUAL bagi Malaysia dan Singapura, Aisha kini memperluaskan lagi karyanya menerusi single baharu berjudul “Semoga Saja”, hasil gandingan dengan pemuzik dan penerbit terkenal Indonesia, Ade Govinda.
Berbeza dengan karya Ade sebelum ini yang banyak bergenre balada pop, kali ini mereka tampil dengan susunan sederhana namun sarat emosi. “Semoga Saja” mengangkat tema kehilangan dan doa buat insan yang telah pergi, dengan vokal lembut tetapi bertenaga daripada Aisha yang dibalut harmoni menyentuh rasa, ciri khas karya Ade yang sering dekat di hati pendengar. Menariknya, Aisha turut menjadi penulis lirik bersama Ade.
Video muzik rasmi yang diarahkan oleh Bagoes Tresna Adji dirakam di Pantai Carita, Indonesia. Visualnya memperlihatkan Aisha merindui insan yang sudah tiada, namun tetap menyimpan harapan yang sukar dipadam. Seperti kata pengarahnya, “Menunggu seseorang yang telah pergi membuat kita menggila, namun kedatangannya selalu menenangkan.”
Aisha sendiri mengakui lagu ini cukup peribadi buatnya. Katanya, “Saya amat berharap agar pendengar dapat merasakan kejujuran dalam setiap nada dan memperoleh kekuatan dalam harapan yang tersisa dalam diri,” Ade pula menambah, “Semoga dengan adanya kolaborasi ini, kami dapat terus bekerjasama pada masa akan datang.”
“Semoga Saja” boleh didengarkan di semua platform muzik digital bermula 19 September 2025, manakala video muzik rasminya boleh ditonton melalui saluran YouTube Ade Govinda.
Comments