Aina Abdul Kembali Dengan Sesaat, Buah Tangan Solo Terbaharu Sarat Emosi
- N

 - Sep 24
 - 1 min read
 
Selepas hampir setahun menyepi daripada menghasilkan karya solo, penyanyi dan komposer tersohor tanah air, Aina Abdul, kembali dengan single terbaharu berjudul Sesaat. Lagu yang dilancarkan secara rasmi pada 26 September 2025 ini sekaligus menjawab penantian panjang para peminat.

Diterbitkan oleh Sony Music Malaysia dan Sony Music Indonesia, Sesaat bukan sekadar karya baharu, tetapi refleksi perjalanan emosi seorang Aina yang sentiasa dikenali dengan vokal penuh jiwa. Lagu ini mengisahkan tentang cinta yang hadir sebentar, memberi harapan, tetapi akhirnya pergi tanpa kata sebuah kisah yang dekat dengan pengalaman ramai pendengar.
“Sesaat adalah lagu yang begitu manusiawi. Kali pertama saya dengar, hati saya terus terpaut. Ia kisah kehilangan, tetapi juga tentang kekuatan untuk bangkit,” kata Aina.

Single ini dicipta oleh penulis dan komposer Indonesia iaitu Trakast, Fabio Asher, dan Yafi Aria, dengan penerbitan muzik oleh Yafi Aria dan Rico Andre. Demi menjayakan karya ini, Aina mendedahkan beliau berulang-alik ke Jakarta beberapa kali bagi memastikan hasilnya benar-benar sempurna.
Muzik video rasmi Sesaat turut dilancarkan serentak di saluran YouTube Aina Abdul pada 26 September, dijanjikan penuh simbolik dengan visual yang menggambarkan perjalanan emosi dalam lagu.
Kini, Sesaat boleh didengarkan di semua platform penstriman utama termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music, selain boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering.
Dengan pelancaran ini, Aina Abdul menganggap Sesaat sebagai simbol fasa baharu dalam karier seninya satu babak yang lebih berani, segar, namun tetap sarat emosi.









Comments