6 Jilake Sedia Gegar Pawagam Seluruh Malaysia!
- Ain Najihah
- Apr 17
- 2 min read
Updated: Apr 18

"Mereka dah lama rancang... kita yang lalai.” Itulah bait yang membuka tirai filem epik terbaharu, 6 Jilake, karya istimewa arahan pengarah legenda, Aziz M. Osman. Filem ini bakal memulakan tayangannya di seluruh pawagam Malaysia mulai 24 April 2025, dan menjanjikan satu pengalaman luar biasa yang mencampurkan aksi, pengembaraan, serta komedi rakyat yang mencuit hati.
Filem ini diterbitkan oleh Eartistic Entertainment di bawah pimpinan Dr. Shasa Aziz selaku penerbit, dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai pengedar dan rakan pemasaran, 6 Jilake membawa penonton menelusuri lorong sejarah abad ke-18, ketika kuasa kolonial Hindia Timur Belanda berusaha menguasai kekayaan bijih timah di Tanah Melayu.

Filem ini mengisahkan enam samseng yang diupah untuk menawan sebuah kampung di Perak yang kaya dengan khazanah berharga dan menampilkan konflik antara penjajah dan pejuang tempatan, diterajui oleh seorang pendekar hebat.
Apa yang menjadikan 6 Jilake begitu istimewa adalah pendekatan kreatifnya yang menggabungkan budaya, sejarah dan humor dengan setiap ahli kumpulan samseng diberi nama unik berasaskan kuih tradisional seperti Pulut Panggang, Kole Kacang, Badak Berendam, Tat nanas, Bingka Ubi, dan Nagasari.
Kekuatan filem ini turut terletak pada aksi yang memukau. Setiap watak memiliki gaya bertarung tersendiri, dilengkapi senjata tradisional unik seperti Kayu Selengan Kembar, Tekpi, dan Nanchaku Tahi Besi 1000 Tahun. Unsur seni bela diri Melayu dan elemen budaya menjadikan setiap pertempuran bukan sekadar menegangkan, tetapi juga menyemai rasa bangga terhadap warisan kita.
Filem ini dibarisi pelakon-pelakon hebat seperti Amerul Affendi, Saiful Apek, Bel Ngasri, Asmidar, Kazar Saizi, Jalil Hamid, dan ramai lagi. 6 Jilake menjanjikan persembahan lakonan yang menghiburkan dan penuh warna. Watak-wataknya bukan sahaja lucu malah sarat dengan nilai-nilai tersirat yang mencuit minda penonton.
6 Jilake bukan sekadar sebuah filem tetapi ia satu usaha menghidupkan kembali semangat sinema tempatan yang mengangkat budaya, sejarah, dan jati diri. Untuk anda yang rindu dengan filem-filem Melayu yang ‘kena dengan jiwa’, inilah masa untuk kembali ke panggung!
Jangan lepaskan peluang menyaksikan 6 Jilake di pawagam mulai 24 April ini!
Comments