6 Jilake: Lambang Dedikasi dan Cinta Amerul Terhadap Lakonan
- Ain Najihah
- 5 hours ago
- 2 min read

Dalam langkah berani keluar dari zon selesanya, pelakon berbakat besar Amerul Affendi menyahut cabaran untuk membintangi filem bergenre aksi, 6 Jilake. Meskipun pada asalnya tidak pernah membayangkan dirinya terlibat dalam dunia aksi, keinginan untuk meneroka pelbagai watak dan mengembangkan bakat mendorong Amerul menerima tawaran tersebut. Lebih istimewa, filem ini memberi peluang keemasan untuk berkerjasama di bawah arahan sutradara legenda tanah air, Aziz M. Osman.
Berkongsi pengalamannya, Amerul menggambarkan Aziz M. Osman sebagai seorang pengarah yang tegas, berpengalaman dan luar biasa.
“Walaupun usia beliau semakin meningkat, energinya di set seolah-olah tidak pernah luntur. Saya sangat terinspirasi dengan bagaimana beliau menyalurkan visi dan emosinya kepada para pelakon dengan begitu jelas dan berkesan,” ujar Amerul.
Mengenai persiapan untuk filem ini, Amerul mendedahkan bahawa ia bukanlah satu tugas yang mudah. Pengalaman mempelajari silat sewaktu zaman persekolahan dan ilmu Muay Thai yang diperolehnya daripada projek terdahulu menjadi aset penting dalam menghidupkan wataknya. Disiplin dan latihan intensif selama dua minggu sebelum penggambaran bermula turut memperlihatkan komitmen tinggi seluruh pasukan produksi demi memastikan mutu aksi berada di tahap terbaik.
Namun, cabaran terbesar tidak hanya terletak pada koreografi aksi. Lokasi penggambaran yang mencecah suhu sehingga 37 darjah Celsius di musim kemarau benar-benar menguji ketahanan fizikal kepada semua yang terlibat. Beraksi di bawah terik mentari tanpa perlindungan mencukupi menuntut kesabaran, disiplin dan perhatian serius terhadap aspek kesihatan.
Di sebalik segala cabaran fizikal dan mental, semangat Amerul untuk terus mewarnai filem aksi tempatan tetap membara.
Malah, beliau menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pengarah filem aksi terkenal, Syafiq Yusof, pada masa akan datang.
"Kalau diberi peluang, saya memang nak lagi," katanya penuh keyakinan.
Amerul turut berpeluang berlakon bersama Saiful Apek, ikon filem komedi negara yang amat dihormatinya. Menyifatkan Saiful Apek sebagai seorang yang ceria dan "happy-go-lucky" di dalam dan luar set, Amerul menganggap pengalaman tersebut sebagai antara kenangan terindah dalam kerjayanya.
Amerul turut berkongsi impian jangka panjangnya untuk membintangi sebuah filem bertemakan cinta. Meskipun beliau mengakui bahawa nyanyian bukanlah kekuatan utamanya, dunia lakonan tetap menjadi cinta sejatinya.
Bagi Amerul, 6 Jilake bukan sekadar sebuah filem aksi, tetapi simbol keberanian seorang anak seni dalam menguji batas kemampuan diri, mengharungi pelbagai cabaran dan menghidupkan jiwa dalam setiap watak yang dilakonkan.
Comments