top of page

17,000 Raingers Gegarkan Bukit Jalil, Hujan Rai 20 Tahun Penuh Emosi

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 17 hours ago
  • 2 min read

Dua dekad dalam industri muzik bukan satu perjalanan yang mudah. Namun Konsert Hujan XX membuktikan bahawa Hujan masih mempunyai tempat istimewa di hati peminat apabila lebih 17,000 Raingers memenuhi Stadium Hoki Bukit Jalil bagi meraikan ulang tahun ke-20 perjalanan kugiran itu.

Foto echolaliapictures


Apa yang lebih menarik, tiada promosi berlebihan atau gimik luar biasa diperlukan. Pengumuman bahawa Hujan bakal meraikan ulang tahun ke-20 mereka sudah cukup membuatkan peminat berpusu-pusu mendapatkan tiket. Hasilnya, seramai 17,108 Raingers berkumpul untuk menyaksikan persembahan yang berlangsung hampir tiga jam dengan 45 buah lagu daripada pelbagai era Hujan.


Konsert ini terasa lebih seperti sebuah gig berskala besar berbanding konsert biasa. Seperti yang disebut sendiri oleh Noh Salleh di atas pentas, suasana malam itu mengingatkan kepada budaya gig yang membesarkan nama Hujan suatu ketika dahulu.


Semangat itu jelas kelihatan apabila beberapa mosh pit terbentuk secara spontan di tengah-tengah lautan penonton. Walaupun diadakan dalam venue berskala besar, aura muzik indie yang bebas dan penuh tenaga masih dapat dirasakan sepanjang persembahan.


Bukan sekadar nostalgia, Hujan turut membuktikan mengapa mereka kekal relevan selepas 20 tahun. Setiap segmen konsert disusun dengan kemas, membawa penonton mengimbau perjalanan muzik mereka daripada lagu-lagu galau sehinggalah karya yang lebih berat dan bertenaga.


Dari sudut produksi pula, persembahan visual serta sistem audio yang ditampilkan memberikan pengalaman yang cukup memuaskan. Pentas yang tidak terlalu sarat dengan hiasan berjaya mengekalkan fokus kepada muzik dan persembahan setiap anggota kumpulan.

Foto echolaliapictures


Selain kekuatan lagu, chemistry antara Noh, AG, Am, Hang Dimas dan Izzat turut menjadi faktor utama yang menghidupkan konsert ini. Masing-masing tampil dengan personaliti tersendiri sehingga berjaya mencipta persembahan yang hidup dari awal hingga akhir.


Malam itu juga menjadi lebih istimewa dengan kemunculan beberapa artis jemputan seperti Datuk M. Nasir, MonoloQue, Yuna, DJ Uno, Fyn Jamal dan Akeem Jahat. Setiap kemunculan memberikan warna berbeza tanpa mengganggu perjalanan utama konsert.


Apa yang paling menyentuh hati tentunya apabila seluruh stadium sama-sama menyanyikan lagu-lagu ikonik seperti Aku Scandal, Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada, Ahmoi Chantek, Empayarmu dan Dugaanku. Malah, peminat tegar turut menghidupkan lagu-lagu yang jarang dipersembahkan seperti DBS, Ke Selatan dan Perindu Kalbu.


Di sebalik sorakan dan mosh pit yang tidak pernah berhenti, Noh beberapa kali berkongsi bagaimana Hujan pernah melalui pelbagai cabaran sepanjang dua dekad mereka dalam industri. Namun sokongan tidak berbelah bahagi daripada Raingers menjadi sebab utama kumpulan itu terus bertahan sehingga hari ini.


Konsert Hujan XX bukan sekadar sambutan ulang tahun sebuah kugiran. Ia menjadi simbol bagaimana muzik indie Malaysia mampu berkembang, mempengaruhi generasi baharu dan akhirnya menjadi sebahagian daripada sejarah muzik tempatan.


Selepas 20 tahun, Hujan tidak lagi perlu membuktikan siapa mereka. Kehadiran lebih 17,000 peminat yang menyanyi bersama setiap bait lagu sudah cukup menjadi jawapannya. Malam itu bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah perayaan buat perjalanan muzik yang telah membesar bersama ramai rakyat Malaysia.

Comments


bottom of page