11 Tahun Bulan Bintang, Next Chapter Buka Lembaran Baharu Fesyen Raya Tempatan
- Atiqah Halim

- 5 hours ago
- 2 min read

Bulan Bintang mencipta sejarah tersendiri apabila menyambut ulang tahun ke 11 menerusi penganjuran pertunjukan fesyen bertemakan Next Chapter yang berlangsung pada Sabtu lalu, 17 Januari 2026 di IOI Grand Exhibition Convention Centre, Putrajaya. Acara berskala besar ini bukan sekadar meraikan perjalanan jenama tempatan tersebut, malah menandakan hala tuju baharu Bulan Bintang dalam landskap fesyen raya tanah air.
Pertunjukan fesyen ini menampilkan koleksi raya ready to wear untuk seisi keluarga merangkumi baju melayu dengan pelbagai pilihan potongan, selain koleksi pakaian sedondon untuk wanita dan kanak-kanak. Secara keseluruhan, sebanyak 84 pilihan warna diperkenalkan bagi memberi lebih kebebasan kepada pengguna dalam memilih gaya yang sesuai dengan personaliti masing-masing menjelang Aidilfitri.

Antara tarikan utama ialah pengenalan koleksi baju melayu terbaharu Bulan Bintang yang hadir dengan tiga pilihan potongan iaitu Slim Fit, Tailored Fit dan Traditional Fit. Koleksi ini turut menggunakan fabrik yang lebih lembut, ringan dan sejuk dengan kemasan jahitan yang lebih rapi bagi memastikan keselesaan sepanjang hari. Selari dengan pendekatan jenama yang inklusif, koleksi ini ditawarkan sehingga saiz 8XL, sekali gus memenuhi keperluan pelbagai bentuk badan.
Pentas peragaan dimeriahkan dengan kemunculan barisan selebriti ternama seperti Datuk Rosyam Nor, Shukri Yahaya, Syafiq Kyle, Nadhir Nasar, Mierul Aiman dan Zahiril Adzim. Selain itu, kehadiran duta istimewa Bulan Bintang termasuk Hannah Delisha, Ain Edruce, Azira Shafinaz, Kasih Iris Leona, Erysha Emyra, Ernie Zakri dan Syamel, bersama Dato’ Ramli MS dan Dato’ Jalaluddin Hassan turut mencuri perhatian. Kemunculan semula Sharnaaz Ahmad sebagai duta Bulan Bintang menjadi antara momen yang paling mendapat sorotan sepanjang acara berlangsung.

Menurut pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, kejayaan jenama ini kekal relevan dan berkembang pesat selama lebih sedekad adalah hasil sokongan berterusan rakyat Malaysia. Beliau turut menegaskan bahawa aspek kualiti produk serta perkhidmatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan dalam memastikan Bulan Bintang terus bersaing dalam pasaran yang kompetitif.
Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia, Bulan Bintang sekali lagi memperkenalkan kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya powered by AFFIN untuk tahun ketiga. Kempen ini menawarkan pelbagai hadiah menarik termasuk Affin Dream Box bernilai RM500,000 dan Duit Raya Affin Bank berjumlah RM400,000, selain sumbangan hadiah daripada jenama seperti Dr. Cardin, Tealive dan Tabung Haji Travel & Services. Kolaborasi meluas ini dilihat sebagai satu pencapaian luar biasa yang jarang berlaku dalam industri fesyen tempatan.

Acara ini turut diselang-selikan dengan persembahan nyanyian daripada Spider, Ernie Zakri dan Syamel, sekali gus menambah kemeriahan malam tersebut. Dalam masa yang sama, pengumuman pemenang Bulan Bintang Next Top Model musim kedua turut menjadi sorotan apabila menampilkan finalis berusia 40 hingga 70 tahun daripada kalangan orang awam. Pemenang berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 hasil undian juri dan penonton yang hadir.
Dengan sasaran jualan sebanyak 1.5 juta helai pakaian bagi kempen raya tahun ini, Bulan Bintang yakin koleksi Next Chapter mampu menarik minat pengguna. Koleksi ini kini boleh didapati di 15 butik rasmi Bulan Bintang seluruh Malaysia serta di platform TikTok yang merupakan rakan kerjasama strategik jenama tersebut.









Comments