top of page

Zahiril Adzim Jadi Lelaki ‘Red Flags’ Dalam Drama Mutiara Dalam Debuan Kabus

  • Writer: N
    N
  • 4 hours ago
  • 2 min read
ree

Aktor berkaliber Zahiril Adzim sememangnya antara nama besar yang tidak pernah menghampakan setiap kali muncul di kaca televisyen. Kali ini, beliau kembali menggegarkan slot MegaDRAMA di Astro RIA menerusi drama terbaru berjudul Mutiara Dalam Debuan Kabus.


Sejak mula ditayangkan pada 6 Oktober lalu, drama 24 episod ini menjadi buah mulut warganet kerana watak lakonan Zahiril sebagai Uzzam seorang lelaki yang digambarkan sarkastik, garang, dan pemarah terhadap pasangannya, Aslin yang dilakonkan oleh Emma Maembong.

Ramai penonton mula melabelkan watak Uzzam sebagai “lelaki red flags” istilah popular yang merujuk kepada individu yang menunjukkan sikap toksik atau berpotensi membawa hubungan ke arah tidak sihat.


Ketika ditanya mengenai karakter tersebut, Zahiril menjelaskan bahawa tindakan keras Uzzam bukanlah tanpa sebab. Menurutnya, sisi ‘gelap’ Uzzam lahir daripada kejahatan yang dilakukan oleh Aslin.

“Dia sebenarnya nampak macam red flags, tapi apa yang dilakukan adalah perkara yang sepatutnya dia buat kepada Aslin. Dia buat kerana kejahatan Aslin yang patut dibalas begitu. Uzzam bangkit dan lawan!” jelas Zahiril.

Menariknya, Zahiril turut mengakui bahawa watak tersebut sangat jauh berbeza dengan dirinya di dunia sebenar.

ree

Zahiril turut mendedahkan bahawa dirinya jarang sekali marah dalam kehidupan sebenar, malah pernah diingatkan agar tidak mudah berang kerana bimbang memberi kesan buruk pada dirinya sendiri.

“Saya rasa Uzzam sangat berjauhan dengan diri saya. Saya susah nak marah. Marah macam mana pun... tinggi suara macam tu je. Kalau betul-betul melampaui tahap kesabaran, saya diberitahu supaya jangan marah. Sebab kalau saya meletup, bahaya. Efek nanti kena pada diri saya sendiri,” katanya.

Namun demi menjayakan watak, Zahiril terpaksa keluar dari zon selesa dan menjiwai karakter lelaki yang panas baran serta tegas.

“Dalam cerita ini saya kena garang. Hakikatnya saya tak begini dan tak pernah pun jadi macam Uzzam,” tambahnya sambil ketawa.

Gandingan semula Zahiril Adzim dan Emma Maembong dalam Mutiara Dalam Debuan Kabus juga mendapat pujian ramai kerana chemistry mereka yang kuat di layar. Ramai penonton tidak sabar menantikan perkembangan hubungan antara Uzzam dan Aslin dalam episod-episod seterusnya.

ree

Bagi peminat drama tempatan yang sukakan konflik emosi dan watak yang kompleks, Mutiara Dalam Debuan Kabus sememangnya antara karya yang wajib ditonton tahun ini.


Jangan ketinggalan menonton Mutiara Dalam Debuan Kabus setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro RIA, atau strim menerusi Astro GO untuk menyaksikan lakonan penuh emosi Zahiril Adzim sebagai lelaki red flags yang mencabar persepsi penonton.

Comments


bottom of page