Viu Lancar Drama Romantik “Seadanya Kita” Lakonan Emma Maembong & Mierul Aiman Mulai 7 Ogos 2025
- kaypohmedia
- 6 days ago
- 2 min read
Updated: 5 days ago
Viu, platform penstriman video OTT terkemuka oleh PCCW, sekali lagi menghangatkan dunia hiburan tempatan dengan pelancaran drama romantik terbaharu berjudul Seadanya Kita (Unexpectedly Yours). Drama bersiri 15 episod ini akan mula ditayangkan secara eksklusif di Viu bermula 7 Ogos 2025, dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.

Seadanya Kita mengisahkan Alani (Emma Maembong), seorang ibu tunggal yang cuba membina semula kehidupannya bersama anak lelakinya, Iqi (Mikael Noah), selepas ditinggalkan suami, Farouq (Shahz Jaszle) lima tahun lalu. Kehidupannya yang mulai tenang kembali bergoncang apabila Farouq tiba-tiba muncul semula.

Dalam masa yang sama, Alani bertemu Kerol (Mierul Aiman), seorang penyanyi rock muda yang masih dibayangi masa silam. Hubungan mereka bermula secara profesional, namun perlahan-lahan berkembang menjadi rasa yang lebih mendalam. Kerol mula menjadi sebahagian daripada kehidupan Iqi sesuatu yang Alani sendiri belum pasti mampu diterima.

Drama ini membawa penonton menyelami dilema seorang wanita yang terperangkap antara masa lalu yang meminta peluang, masa kini yang perlu dipertahankan, dan masa depan yang mungkin menjanjikan kebahagiaan.
Selain Emma Maembong, Mierul Aiman dan Shahz Jaszle, drama ini turut dibintangi Nelissa Nizam, Ara Johari, Yasmin Hani, Anas Ridzuan, dan Mikael Noah. Gandingan pertama Emma dan Mierul dijangka menjadi tarikan utama, dengan chemistry yang segar dan menyentuh emosi.

Diarahkan oleh Feroz Kader dan diterbitkan Global Film Station, Seadanya Kita meneruskan komitmen Viu Malaysia dalam menghasilkan naskhah tempatan berkualiti tinggi. Feroz sebelum ini pernah mengarahkan drama popular Pabila Dia Tersenyum untuk Viu, dan kini membawa sentuhan emosinya ke projek baharu ini.
Menurut Imillya Irwani Roslan, Pengarah Produksi Viu Malaysia, drama ini bukan sekadar kisah cinta biasa, malah menyentuh persoalan perbezaan usia dalam hubungan, persepsi masyarakat, dan makna sebenar keluarga.
Lagu tema rasmi Seadanya Kita berjudul “Berakhir Kita” nyanyian Syamel, ciptaan Shazriq Azeman dan Omar K (World Peace Music), dilancarkan serentak dengan tayangan drama ini. Balada penuh emosi ini boleh dinikmati di semua platform penstriman utama serta saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.
Comentários