Ushera Kembali Dengan Lagu Raya ‘Warna Warni Hari Raya’
- N

- 22 hours ago
- 2 min read
Musim lagu raya 2026 nampaknya semakin meriah apabila penyanyi Nona Ushera kembali dengan single baharu berjudul Warna Warni Hari Raya. Selepas beberapa tahun menyepi daripada produksi lagu raya, kemunculan kali ini hadir dengan mesej yang dekat dengan hati rakyat Malaysia, kemeriahan, kepelbagaian dan semangat perpaduan.

Bagi peminat yang mengikuti perjalanan kariernya, ini bukan percubaan pertama Ushera dalam genre raya. Sebelum ini, beliau pernah tampil dengan Suka Ria Raya (2017) dan Kembali (2021) yang berunsur Ghazal Melayu tradisional. Tahun ini, Warna Warni Hari Raya hadir dengan sentuhan segar tetapi masih mengekalkan elemen klasik yang menjadi identiti beliau.
Menariknya, Ushera sendiri menulis lirik lagu ini, manakala komposer dan penerbitnya ialah Ganesh Bala. Menurut Ushera, lagu ini sengaja dihasilkan dengan lirik yang mudah diingati.
“Liriknya berkisar tentang kemeriahan raya di kampung, berbusana baharu dan suasana Aidilfitri yang berwarna-warni. Saya mahu ia mudah melekat di hati pendengar, tetapi melodinya tetap malar segar untuk semua generasi,” katanya.
Bukan sekadar lagu, konsep Warna Warni Hari Raya turut membawa mesej yang lebih besar meraikan masyarakat majmuk Malaysia. Tema kepelbagaian ini diterjemahkan melalui penglibatan tenaga kreatif daripada pelbagai bangsa, sekali gus menjadikan karya ini sebagai simbol perpaduan sempena Aidilfitri.

Dari segi visual, muzik video lagu ini diarahkan oleh Arnaud Blondel dan telah menjalani penggambaran pada awal Januari lalu. Penampilan Ushera pula dilengkapkan dengan kolaborasi bersama pereka fesyen terkenal, Syomir Izwa Gupta, yang menambah elemen gaya moden-retro yang sinonim dengan imejnya.
Menurut Ushera, penghasilan lagu ini bukan untuk bersaing, sebaliknya mahu menambah pilihan kepada peminat memandangkan trend lagu raya kini semakin pelbagai dan segar.
“Sekarang lagu raya tidak lagi terikat dengan gaya sedih atau klasik sahaja. Banyak genre baharu yang diterima ramai. Saya mahu jadi sebahagian daripada warna-warni itu,” jelasnya.
Bagi yang tak sabar, muzik video Warna Warni Hari Raya sudah boleh ditonton di YouTube sejak 16 Februari 2026, manakala lagu ini turut tersedia di Spotify dan Apple Music pada tarikh yang sama.
Dengan mesej ceria, elemen perpaduan dan sentuhan moden yang malar segar, nampaknya Warna Warni Hari Raya ada potensi untuk masuk dalam playlist wajib setiap kali balik kampung nanti. Mana tahu, boleh jadi lagu latar untuk video OOTD raya tahun ini juga.









Comments