“Jeda Derita” Nukilan Liza Hanim Dan Tomok Hasilkan Balada Penuh Penghayatan Untuk OST Sumpah Ibuku
- Atiqah Halim

- 7 hours ago
- 2 min read

Liza Hanim kembali dengan sebuah balada yang sarat dengan rasa, “Jeda Derita”, karya terbaharu yang diangkat sebagai OST drama Akasia TV3 Sumpah Ibuku. Sentuhan emosi dalam lagu ini bukan sekadar hadir melalui vokal Liza, tetapi turut diperkukuh dengan komposisi Tomok serta lirik puitis tulisan Fedtri Yahya.
Mengangkat tema kesetiaan yang diuji, ketabahan seorang wanita yang dikhianati dan pergolakan jiwa yang sukar dileraikan, “Jeda Derita” dibina sepenuhnya berdasarkan perjalanan watak utama drama tersebut. Fedtri menjelaskan proses penulisan lirik hanya dapat berlaku selepas beliau benar-benar memahami beban emosi watak itu demi memastikan mesej lagu selari dengan naskhah asal.
Menurut Tomok, kekuatan lagu ini terletak pada keseimbangan antara melodi yang meruntun, lirik yang halus dan vokal Liza yang berjaya menghidupkan keseluruhan emosi karya tersebut. Beliau turut mendedahkan bahawa Liza mengalirkan air mata ketika sesi rakaman seterusnya membuktikan betapa kuatnya impak lagu ini terhadap penyanyinya sendiri.
Bagi Liza Hanim, peluang menyampaikan “Jeda Derita” merupakan satu penghargaan besar dan menjadi titik penting dalam kerjayanya. Beliau menyifatkan kolaborasi bersama Tomok sebagai pengalaman bermakna, lebih-lebih lagi melihat perkembangan Tomok yang kini bukan sahaja sebagai penyanyi tetapi turut cemerlang sebagai komposer, penerbit dan ahli perniagaan.
Sesi rakaman lagu ini mengambil masa sekitar dua jam setengah dan ditunda beberapa kali atas faktor kesihatan. Namun proses tersebut akhirnya menjadi pengalaman cukup emosional. Liza turut berkongsi bahawa beliau meminta lampu studio dipadamkan bagi membantu mendapatkan fokus dan mood yang diperlukan untuk menyampaikan vokal secara natural.
Keakraban profesional antara Liza dan Tomok sejak zaman awal kerjaya mereka turut menyumbang kepada penghasilan karya yang lebih berjiwa. Menurut Liza, setiap bait dalam “Jeda Derita” membawa rasa perit, letih dan jeda yang pasti dirasai pendengar. Beliau percaya lagu ini akan menyentuh hati sesiapa sahaja yang sedang bergelut dengan perasaan yang sama.
Dengan kekuatan vokal Liza Hanim serta penulisan lirik Fedtri Yahya yang puitis, “Jeda Derita” dijangka menjadi antara balada paling beremosi dalam perjalanan seni beliau kebelakangan ini.
“Jeda Derita” kini tersedia di semua platform penstriman digital termasuk YouTube dan Spotify. Untuk perkembangan terkini Alternate Records and Talents, ikuti mereka di Facebook, Instagram dan TikTok.









Comments