Umar Akmal Rangkul Anugerah Persembahan Terbaik di Anugerah Lagu Indie 2024
- Nurul Safiah
- 4 days ago
- 1 min read
Penyanyi muda, Umar Akmal, berjaya mencuri perhatian ramai apabila diumum sebagai penerima Anugerah Persembahan Terbaik pada malam kemuncak Anugerah Lagu Indie (ALI) 2024 yang berlangsung penuh meriah di JioSpace, Kuala Lumpur.

Membawakan persembahan yang dinilai sebagai paling berkesan dan bertenaga sepanjang pentas akhir berlangsung, kemenangan Umar Akmal bukan sahaja diraikan oleh peminat yang hadir secara fizikal, malah turut mendapat sokongan tinggi daripada undian awam dalam talian.
Penjurian untuk kategori ini melibatkan gabungan 70 peratus markah daripada panel juri profesional dan 30 peratus undian awam, yang telah berlangsung sepanjang persembahan dari finalis pertama hingga terakhir.
Talian undian rasmi pula ditutup sejurus selepas persembahan terakhir dipentaskan.

Anugerah disampaikan oleh Myo, vokalis kumpulan Jemson, yang turut menjadi simbol generasi pemuzik bebas yang semakin diberi tempat dalam arus perdana industri hiburan tanah air.
Persembahan Umar Akmal disifatkan sebagai cukup menyengat dengan kawalan vokal yang mantap, penghayatan yang menyentuh emosi, serta kehadiran pentas yang memukau.

Meskipun bersaing dengan 14 finalis lain yang tidak kurang hebat, Umar berjaya membuktikan keunikan dan keasliannya sebagai seorang artis solo yang berbakat besar.
Sebagai penerima Anugerah Persembahan Terbaik, Umar Akmal membawa pulang ganjaran wang tunai sebanyak RM5,000, bersama penghargaan tinggi daripada peminat dan rakan industri.
Anugerah Lagu Indie 2024 terus memperkukuh fungsinya dengan sokongan pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan serta stesen radio Rakita 107.9, acara ini membuktikan bahawa industri muzik alternatif Malaysia semakin matang dan mendapat tempat di hati pendengar.
Comments