TV3 Raikan Ulang Tahun ke-41 Dengan Projek Istimewa ‘Dari Layar ke Lensa’
- Nurul Safiah
- Jun 18
- 1 min read

Bersempena ulang tahun ke-41, TV3 mempersembahkan projek istimewa Dari Layar ke Lensa yang menjanjikan kelainan menerusi barisan pelakon popular tanah air yang kini tampil di belakang tabir sebagai pengarah!
Projek istimewa ini menyaksikan empat figura seni terkenal, Siti Saleha, Fattah Amin, Janna Nick dan Zahiril Adzim menerajui kerusi pengarah untuk menghasilkan telefilem-telefilem asli yang menyentuh hati dan penuh inspirasi.
Dengan membawa idea dan sentuhan kreatif masing-masing, keempat-empat selebriti ini bakal menterjemahkan pengalaman dan perspektif mereka ke dalam karya televisyen yang dijangka memberi impak tersendiri kepada penonton.
Aktor versatil, Fattah Amin, yang bakal mempertaruhkan bakatnya dalam telefilem berjudul Noktah Dosa yang bakal ditayangkan di slot Cerekarama pada 12 Julai 2025, Sabtu, jam 10 malam.
Siti Saleha pula akan mengarah telefilem Rentak Dua Hati yang ditayangkan 5 Julai. Manakala Janna Nick mengarah telefilem Susu Lima Kupang, dan Zahiril Adzim mengarah telefilem Pencuri Rumah Imam.
Setiap telefilem akan disiarkan dalam slot Cerekarama sepanjang bulan Julai ini.
Dari Layar ke Lensa bukan sahaja meraikan ulang tahun TV3, malah memberi nafas baharu kepada dunia pengarahan tempatan, membuka peluang buat pelakon berkembang dalam dimensi baharu seni lakon dan visual.
Nantikan tayangan eksklusif karya mereka hanya di TV3 Julai ini di slot Cerekarama!
Comments