top of page

Throwback Ikonik: Momen-Momen Penuh Aksi dan Emosi dalam Ejen Ali The Movie!

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 6 days ago
  • 2 min read



Menjelang tayangan Ejen Ali the Movie 2 pada 22 Mei 2025, peminat setia siri animasi ini pastinya masih terbayang babak-babak paling ikonik dari filem pertama yang berjaya mencuri perhatian ramai. Berikut antara momen yang masih segar dalam ingatan dan menjadi kegemaran ramai:




“Mamak Maju, Servis Laju!” – Komedi Tempatan yang Menjadi Fenomena


Babak di restoran Mamak Maju bukan sekadar selingan lucu, malah mencipta fenomena tersendiri. Dengan elemen budaya tempatan, muzik rancak, dan tarian ala filem Hindustan, adegan ini menjadi tular di media sosial dan pernah menduduki carta No.1 di YouTube dengan lebih 20 juta tontonan. Dalam babak ini, Ali, Alicia dan Bakar menyusup ke markas rahsia MATA melalui restoran 24 jam tersebut dengan bantuan tiga bekas ejen MATA iaitu Rahul, Rajesh dan Razman. Kehadiran mereka bukan sahaja menghiburkan, malah mendedahkan sisi peribadi Alicia yang dikenali sebagai "Icha" oleh mereka. Gabungan komedi, nostalgia dan aksi menyuntik elemen unik dalam filem animasi tempatan ini.




Pertarungan Epik Niki vs Ejen-Ejen MATA


Salah satu babak aksi paling mengujakan dalam filem ini ialah pertempuran hebat antara Niki dan barisan ejen MATA.


Pertarungan ini bukan sahaja menonjolkan animasi berkualiti tinggi dan koreografi mendebarkan, malah mendedahkan kisah tragis Niki iaitu seorang pemuda dari Pinggiran Cyberaya yang menyimpan dendam terhadap Dato’ Othman atas kematian ibu bapanya.


Kecewa dengan pengkhianatan rakan lamanya, Aliya yang menyertai MATA, Niki mempergunakan Ali dalam misi dendamnya. Namun, Ali akhirnya sedar dan bangkit mempertahankan kebenaran, sekaligus menewaskan Niki dengan semangat yang diwarisi daripada ibunya.




Rahsia Aliya Terbongkar: Pendedahan yang Menyentuh Hati


Momen paling menyentuh hati dalam filem ini adalah apabila identiti sebenar ibu Ali dan Aliya didedahkan. Ternyata, beliau merupakan ejen elit MATA yang telah terkorban dalam misi kritikal.


Babak ini memperlihatkan hubungan silam antara Aliya dan Niki serta sebab sebenar di sebalik permusuhan Niki terhadap MATA. Dalam klimaks emosi di dimensi IRIS, Ali terpaksa membuat keputusan berat iaitu memadam data ibunya demi menguasai Override Mode dan menyelamatkan Cyberaya.


Adegan ini menambah lapisan emosi dan kemanusiaan dalam naratif filem, menjadikannya lebih daripada sekadar animasi aksi.



Ali Menguasai Override Mode – Simbol Warisan dan Pengorbanan


Akhirnya, pertemuan Ali dengan mendiang ibunya dalam IRIS menjadi pemangkin kepada transformasi dirinya sebagai ejen sejati.


Dengan iringan lagu menyentuh hati Mama di Hatimu nyanyian Ida Rahayu Yusoff, Ali berjaya menguasai Override Mode dan mengakhiri ancaman Niki. Detik ini bukan sahaja mengangkat watak Ali sebagai hero yang matang, tetapi juga sebagai simbol warisan kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu.


Sebagai pembuka jalan kepada Ejen Ali the Movie 2, momen-momen ini kekal segar dalam ingatan dan membuktikan kehebatan animasi tempatan dalam menggabungkan hiburan, budaya dan nilai-nilai murni. Adakah anda sudah bersedia untuk misi seterusnya?



Comments


bottom of page