top of page

Teach You a Lesson Atasi The Glory, Kini Dalam Top 5 Drama Korea Paling Popular di Netflix

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 26 minutes ago
  • 2 min read

Teach You a Lesson terus mencuri perhatian peminat drama Korea apabila berjaya memecahkan rekod tontonan The Glory di Netflix. Hanya dalam tempoh empat minggu selepas ditayangkan, siri ini kini berada dalam kelompok lima drama Korea original paling banyak ditonton di platform penstriman itu.


Dibintangi oleh Kim Moo Yul dan Lee Sung Min, drama ini mencatat sebanyak 46.6 juta tontonan terkumpul, dengan jumlah masa tontonan melebihi 498.9 juta jam. Angka tersebut cukup untuk memintas pencapaian The Glory, yang sebelum ini merekodkan 39.7 juta tontonan dan berada di tangga kelima.


Kalau ikut carta sepanjang zaman Netflix untuk kandungan original Korea, tiga kedudukan teratas masih didominasi oleh francais Squid Game. Musim pertama kekal di tempat pertama dengan 265.2 juta tontonan, diikuti Squid Game 2 (192.6 juta) dan Squid Game 3 (145.8 juta). Sementara itu, All of Us Are Dead masih berada di tangga keempat dengan 55.5 juta tontonan.


Menariknya, pencapaian terbaru ini menjadikan Teach You a Lesson antara tiga judul Korea individu paling berjaya di Netflix jika francais Squid Game dikira sebagai satu siri.


Prestasi drama ini juga menunjukkan peningkatan yang konsisten sejak hari pertama tayangan pada 5 Jun. Minggu pertama menyaksikan 6.4 juta tontonan, diikuti lonjakan kepada 21.1 juta pada minggu kedua. Minggu ketiga pula merekodkan 11.8 juta tontonan sebelum menambah lagi 7.3 juta tontonan pada minggu keempat.


Melihat kepada momentum semasa, ramai menjangkakan Teach You a Lesson berpotensi memintas All of Us Are Dead untuk menduduki tangga keempat. Siri ini hanya memerlukan tambahan sekitar 6.6 juta tontonan lagi untuk mencapai sasaran tersebut.


Dengan sambutan yang masih kukuh di seluruh dunia, tidak mustahil Teach You a Lesson akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara drama Korea terbesar pernah dihasilkan oleh Netflix. Persoalannya sekarang, mampukah siri ini terus mengejar rekod yang dipegang oleh francais Squid Game? Sama-sama kita nantikan perkembangan seterusnya.

Comments


bottom of page