Syuk Esa Lancar Single Pertama ‘Tulus’, Buka Lembaran Baharu Bersama Luncai Emas
- N

- 7 minutes ago
- 2 min read
Nama Syuk Esa mungkin sudah pernah singgah di telinga peminat muzik menerusi lagu Sinaran Hatiku untuk runut bunyi filem Mencari Ramlee. Kali ini, penyanyi muda itu tampil dengan langkah lebih besar apabila memperkenalkan single pertama “Tulus”, sekali gus membuka babak baharu dalam perjalanan seninya bersama Luncai Emas.
Walaupun “Tulus” merupakan karya solo pertamanya, muzik sebenarnya sudah lama menjadi sebahagian daripada hidup Syuk. Minatnya bermula sejak kecil sebelum dia mula memberi fokus sepenuhnya terhadap dunia muzik sekitar tahun 2014 menerusi aktiviti busking. Sebelum mengejar impian sebagai penyanyi, Syuk pernah bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat membeli-belah sambil terus berusaha membina nama dalam industri.

Peluang menyertai Luncai Emas dianggap sebagai satu pencapaian besar buat anak seni yang sedang meningkat naik ini. Baginya, dapat berada di bawah syarikat rakaman yang mempunyai sejarah dan reputasi kukuh dalam industri muzik tempatan menjadi pembakar semangat untuk memberikan yang terbaik dalam setiap karya.
Lebih bermakna, Syuk turut berkongsi rasa syukur apabila mengetahui bakat dan suaranya mendapat perhatian daripada maestro muzik negara, Dato’ M. Nasir. Pengiktirafan itu menjadi motivasi untuk terus berkembang, malah dia berharap suatu hari nanti berpeluang membawakan karya ciptaan figura legenda tersebut atau bekerjasama dalam projek akan datang.

Menariknya, lagu “Tulus” turut menemukan Syuk dengan dua nama yang cukup dikenali dalam dunia muzik alternatif tempatan, iaitu Zahar dan Yasin daripada kumpulan Pitahati. Kedua-duanya bertindak sebagai penulis lagu dan penerbit, sekali gus membantu membentuk identiti muzik yang ingin diketengahkan menerusi single sulung ini.
Menurut Syuk, proses rakaman berjalan dengan cukup lancar kerana setiap individu yang terlibat memberikan kerjasama yang baik. Sebagai pendatang baharu, dia turut menghargai bimbingan yang diberikan terutama dari aspek teknik nyanyian, lontaran vokal serta ruang untuk berkongsi idea sepanjang proses menghasilkan lagu tersebut.
Dengan pelancaran “Tulus”, Syuk Esa berharap lebih ramai pendengar dapat mengenali identiti muziknya. Single ini juga dilihat sebagai permulaan kepada perjalanan yang lebih panjang dalam industri hiburan tempatan, selain menjadi platform untuk memperkenalkan dirinya sebagai penyanyi dan penghibur yang mempunyai gaya tersendiri.
Bagi peminat muzik tempatan yang sentiasa mencari wajah dan suara baharu, “Tulus” mungkin antara lagu yang boleh dimasukkan ke dalam senarai main anda. Single ini kini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.



Comments