top of page

Syasya Rizal Raikan Makna Sebenar Raya Dalam Lagu “Inikan Hari Raya”

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • Mar 6
  • 2 min read

Musim lagu Raya nampaknya semakin meriah tahun ini, dan antara yang mencuri perhatian ialah single baharu Syasya Rizal berjudul “Inikan Hari Raya.” Lagu Raya ini hadir dengan vibe ceria, tetapi dalam masa sama membawa mesej yang cukup dekat dengan realiti ramai orang. Raya bukan tentang kemewahan, tapi tentang kebersamaan dan rasa syukur.


Kalau didengar sekali lalu, lagu ini memang mempunyai melodi yang ringan dan mudah ‘melekat’. Tapi di sebalik irama ceria itu, “Inikan Hari Raya” sebenarnya cuba mengingatkan kita bahawa keindahan Raya sering datang daripada perkara yang paling sederhana.


Lagu ini ditulis oleh Syasya bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus, dengan Amirul Azhar turut bertindak sebagai penerbit. Susunan muziknya bermula dengan progresi kord yang ringkas dan alunan dram yang lembut, sebelum berkembang kepada korus yang lebih bertenaga. Hasilnya, ia memberi suasana hangat yang sesuai dengan mood perayaan.


Menurut Syasya sendiri, mesej dalam lagu ini sangat dekat dengan dirinya. Katanya, kadang-kadang apabila melihat media sosial, sambutan Raya nampak seolah-olah perlu sempurna, baju baharu, rumah dihias mewah dan semuanya nampak besar.


Namun hakikatnya, tidak semua orang menyambut Raya dengan cara yang sama.


Bagi Syasya, Raya sebenarnya lebih bermakna apabila dapat berkumpul dengan orang tersayang, walaupun dalam keadaan sederhana. Sama ada memakai baju lama atau menyambut secara ringkas, yang penting adalah kebahagiaan bersama keluarga.


Menariknya, single ini juga menjadi satu pengalaman istimewa buat Syasya kerana ini adalah kali pertama dia terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu. Sepanjang proses tersebut, Amirul Azhar dan Amir Firdaus banyak membimbingnya tentang cara membina melodi, emosi dan jalan cerita dalam sesebuah lagu.


Dengan kehadiran suami dan dua bayi comelnya, Obot dan Obit, suasana Raya bagi Syasya kini lebih hidup. Katanya, apabila sudah mempunyai anak, fokus Raya bukan lagi tentang diri sendiri tetapi tentang mencipta memori indah untuk mereka.


Sebab itu juga, melalui “Inikan Hari Raya”, Syasya berharap pendengar akan kembali menghargai perkara kecil yang sering kita terlepas pandang ketika musim perayaan.


Syasya juga berharap lagu ini boleh menjadi salah satu lagu yang dimainkan setiap kali musim Raya tiba. Baginya, jika suatu hari nanti ada pendengar yang mengaitkan lagu ini dengan kenangan Raya mereka bersama keluarga, itu sudah menjadi hadiah paling bermakna dalam perjalanan kariernya sebagai penyanyi.


Single “Inikan Hari Raya” kini sudah boleh didengarkan di semua platform penstriman digital

Comments


bottom of page