Susu Lima Kupang: Kisah Menyentuh Hati Arahan Janna Nick Tampil di Slot Cerekarama TV3
- kaypohmedia
- 6 hours ago
- 2 min read
Susu Lima Kupang, sebuah telefilem terbaharu arahan pelakon dan pengarah berbakat Janna Nick, bakal mengisi slot Cerekarama TV3 pada Sabtu, 19 Julai 2025, jam 10 malam. Naskhah ini merupakan sebahagian daripada projek khas TV3, Dari Layar Ke Lensa, yang menggabungkan sentuhan peribadi empat pelakon popular Siti Saleha, Fattah Amin, Zahiril Adzim dan Janna Nick sebagai pengarah untuk mengangkat naratif tempatan dengan perspektif segar.

Mengisahkan Zakaria (lakonan Aiman Badrul), seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun yang hidup dalam serba kekurangan bersama ibu autistiknya (Trisha Ooi) dan nenek (Farah Ahmad), Susu Lima Kupang mengetengahkan tema kasih sayang, pengorbanan dan kekuatan seorang anak kecil yang sanggup berbuat apa sahaja demi kebahagiaan ibunya.
Dalam satu insiden penuh emosi, radio kesayangan ibunya rosak gara-gara kambing peliharaan Zakaria yang diberi nama Maryam. Berazam memulihkan keadaan, Zakaria cuba menjual susu kambing itu demi membeli radio baharu, satu usaha kecil yang sarat dengan makna besar.

Menurut Janna Nick, inspirasi cerita ini datang secara tidak dirancang. “Saya nampak poster susu kambing di restoran mamak. Dari situ, lahirlah idea ini,” ujarnya. Cabaran mengarah melibatkan haiwan pula menguji kesabaran dan kecekapan produksi yang bekerja dalam masa dan bajet terhad.
“Saya harap telefilem ini mampu membuka mata masyarakat bahawa dalam Islam, tiada anak haram. Yang haram adalah perbuatan, bukan insan itu sendiri,” tambah Janna. Beliau juga menekankan pentingnya menghargai nikmat kecil dan mencari kebahagiaan walau dalam kesempitan.
Susu Lima Kupang menampilkan lakonan penuh penghayatan daripada Aiman Badrul, Trisha Ooi dan Farah Ahmad. Adakah Zakaria berjaya mengumpul wang untuk menggembirakan ibunya? Segalanya bakal terjawab dalam telefilem yang penuh menyentuh hati ini.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Susu Lima Kupang, cerekarama ketiga dalam siri Dari Layar Ke Lensa. Untuk penutup istimewa projek ini, saksikan pula Pencuri Rumah Imam arahan Zahiril Adzim yang akan ditayangkan pada 26 Julai 2025, di slot dan waktu yang sama.
Comments