top of page

Siri Aksi Baharu ‘Keluang Man’ Akan Diterbitkan Sebelum Sekuel Filem

  • Writer: Nurul Safiah
    Nurul Safiah
  • 10 hours ago
  • 1 min read

Selepas kejayaan filem aksi Keluang Man, Astro Shaw kini bersedia memperkenalkan fasa baharu bagi adiwira ikonik negara itu menerusi sebuah siri asli yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.

 

Menurut Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, siri aksi Keluang Man yang sedang diusahakan ketika ini akan diperkenalkan terlebih dahulu sebelum sekuel rasmi filem ditayangkan.

 

“Ia bukan kesinambungan, tetapi satu penceritaan yang segar. Watak Borhan masih dikekalkan, namun pendekatannya berbeza. Ini merupakan fasa seterusnya dalam dunia Keluang Man yang akan dibawa dalam bentuk siri asal,” kata beliau.

 

Pengarah filem terdahulu, Anwari Ashraf, turut akan kembali menerajui projek ini sebagai pengarah utama.

 

Walaupun tarikh pelancaran rasmi masih belum ditetapkan, siri ini disasarkan untuk ditayangkan selewat-lewatnya pada hujung tahun 2026 atau awal 2027.

 

Raja Jastina turut menjelaskan bahawa pembangunan Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU) masih berjalan lancar seperti dirancang. Antara hala tujunya adalah menghasilkan sebuah filem konvergen epik yang menyatukan watak-watak utama dalam alam ASCU menjelang tahun 2028.

 

“Tiada perubahan terhadap apa yang kami rancangkan, cuma mungkin ada penambahan atau pelarasan kecil dalam elemen tertentu,” ujarnya.

 

Siri aksi Keluang Man ini dijangka membawa dimensi baharu, menyemarakkan lagi semangat adiwira tempatan dan memperkukuh identiti budaya dalam landskap hiburan Malaysia.


Comments


bottom of page