top of page

Singer 2026 Malaysia Tarik Perhatian Dengan Barisan Vokal Hebat

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 10 hours ago
  • 2 min read

Program Singer 2026 Malaysia nampaknya dah mula jadi topik panas walaupun belum rasmi bersiaran. Mana taknya, bila nama besar macam Jaclyn Victor dan Vanessa Reynauld diumumkan sebagai peserta utama, ramai terus mula buat ramalan siapa bakal ‘tapau’ pentas nanti.


Majlis pelancaran yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini turut memperkenalkan beberapa lagi nama yang bakal memeriahkan saingan Singer 2026 Malaysia. Antaranya termasuk Geraldine Gan, Uriah See, Nicole Lai dan Priscilla Abby.


Kalau tengok line-up sekarang, memang boleh nampak program ni cuba gabungkan penyanyi dengan identiti dan warna vokal yang berbeza. Ada yang terkenal dengan vokal power, ada yang kuat aura persembahan, dan ada juga yang memang sudah ada kelompok peminat tersendiri.


Menariknya, Singer 2026 Malaysia bukan sekadar pertandingan nyanyian biasa. Program ini merupakan hasil kerjasama antara Astro dan Mango TV, sekali gus membuka peluang lebih besar untuk bakat tempatan menembusi pentas antarabangsa.


Pemenang musim pertama ini nanti difahamkan bakal mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di bawah francais Singer. Jadi tekanan dia memang lain macam. Bukan setakat nak menang dalam negara, tapi kena bersedia untuk bersaing dengan penyanyi dari luar juga.


Apa yang buat ramai lagi tertunggu-tunggu, dua slot peserta sebenarnya masih belum diisi. Episod pertama nanti akan menyaksikan hampir 30 penyanyi bertanding dalam pusingan penyingkiran sebelum dua nama terakhir dipilih untuk melengkapkan Top 8.


Lepas itu, bermula episod kedua, semua peserta akan bertanding secara langsung. Dari segi format, fokus utama memang pada kekuatan vokal, stamina persembahan dan karisma atas pentas. Penilaian pula dibuat bersama panel penonton, jadi setiap persembahan memang kena betul-betul ‘jadi’.


Bila sebut nama Jaclyn Victor, ramai sudah tahu kemampuan vokalnya memang susah nak dipertikaikan. Sama juga dengan Vanessa Reynauld yang semakin menyerlah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Gabungan pengalaman dan populariti dua penyanyi ini dijangka jadi antara faktor utama kenapa musim pertama Singer 2026 Malaysia mula mendapat perhatian awal.


Program ini akan mula bersiaran pada 30 Mei 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam menerusi Astro AEC, Astro GO dan sooka.


Kalau tengok sambutan dekat media sosial sekarang, nampaknya ramai dah mula pilih ‘team’ masing-masing. Persoalannya sekarang, siapa yang betul-betul mampu bertahan bila saingan sebenar bermula nanti?

Comments


bottom of page