Section Lancar Koleksi Merch Bersama Artis Indie Tempatan
- N

- 4 minutes ago
- 2 min read
Scene muzik indie tempatan nampaknya makin meriah, dan kali ini Section tampil dengan satu inisiatif menarik yang memang dekat dengan komuniti muzik lokal. Menerusi projek terbaru mereka yang dipanggil “50/50 Collaboration Collection”, jenama ini bekerjasama dengan artis dan band indie tempatan untuk menghasilkan koleksi merchandise eksklusif sambil membantu artis menjana pendapatan tambahan.

Dalam dunia muzik sekarang, ramai artis tempatan memang aktif keluarkan lagu baru dan buat persembahan live. Tapi bila bercakap tentang merchandise artis tempatan, budaya itu masih belum benar-benar berkembang seperti scene luar negara. Itu yang cuba diubah oleh Section.
Menurut founder jenama itu, Xalleh Razak, idea projek ini datang daripada pemerhatian beliau sendiri terhadap scene merch artis lokal yang agak perlahan walaupun potensinya besar. Katanya, ramai artis biasanya hanya keluarkan merch ketika album baru atau tour sahaja, sedangkan merchandise sebenarnya boleh jadi salah satu sumber pendapatan penting untuk terus berkarya.
Menariknya, Xalleh sendiri memang membesar dalam dunia gig underground dan aktif mengikuti scene indie sejak dulu lagi. Sebab itu fokus utama projek ini lebih terarah kepada artis indie dan underground berbanding artis arus perdana.
Bagi beliau, scene muzik indie Malaysia sekarang sebenarnya sedang berkembang dengan cukup menarik. Gig tempatan makin banyak dianjurkan hampir setiap minggu, festival muzik semakin kreatif dan artis lokal pula semakin berani bereksperimen dari segi bunyi, visual dan konsep persembahan.
Apa yang lebih relatable, projek ini sebenarnya bermula secara spontan waktu Ramadan lepas. Founder Section mengaku semuanya bermula bila dia sekadar “main-main” buat design kerana bosan. Bila tengok balik folder design yang dah terkumpul, dia terus cuba upload di Instagram Story untuk ajak beberapa artis collab. Tak sangka, ramai terus setuju.
Konsep “50/50 Collaboration Collection” pula memang straightforward, keuntungan jualan t-shirt dibahagikan sama rata antara artis dan pihak Section. Bagi mereka, walaupun jumlahnya mungkin bukan besar, sekurang-kurangnya ia boleh membantu artis dari segi kos recording, mixing atau mastering lagu baru.
Dalam masa sama, mereka juga mengakui cabaran artis indie sekarang bukan kecil. Selain lambakan konsert artis antarabangsa, perkembangan AI dalam industri kreatif turut memberi kesan kepada ramai penggiat seni tempatan.
Namun begitu, Xalleh percaya komuniti muzik lokal sebenarnya masih hidup dan aktif. Cuma sokongannya masih belum cukup besar.
Dan ya, itu mungkin realiti scene lokal sekarang, ramai suka hadir konsert besar, tapi kadang-kadang terlepas pandang bakat tempatan yang sebenarnya sama hebat.
Buat peminat muzik indie, streetwear dan budaya gig lokal, projek macam ini memang antara benda yang boleh bantu scene terus bergerak. Sekurang-kurangnya ada usaha untuk gabungkan muzik, seni visual dan fesyen dalam satu platform yang lebih dekat dengan komuniti.
Kalau sambutan positif diterima, Section juga merancang untuk terus memperluaskan kolaborasi bersama lebih ramai artis tempatan selepas ini. Jadi mungkin lepas ni, makin banyak merch lokal yang kita rasa bangga nak pakai hari-hari, bukan sekadar masa pergi gig.

































Comments