Second Plan Lancar Lagu Raya “Berhari Raya” Dengan Aura Nostalgia 60-an
- N

- Feb 27
- 2 min read
Second Plan kembali memeriahkan musim perayaan dengan lagu raya terbaharu mereka, “Berhari Raya”. Kalau nama kumpulan ini macam bunyi baharu, memang betul inilah identiti terkini mereka selepas melalui proses penjenamaan semula daripada nama lama, Sofazr. Comeback kali ini bukan biasa-biasa. Mereka hadir dengan vibe Syawal yang ceria, tapi disuntik elemen light rock era 60-an. Nostalgia, tapi masih relevan untuk playlist raya 2026.

Kumpulan yang kini dianggotai oleh Zimi (gitaris), Amir (vokalis), One (dram) dan Fairouz (bassis) memilih nama Second Plan sebagai langkah baharu selepas bergerak sebagai empat ahli. Menurut Zimi, perubahan ini bukan sekadar tukar nama tapi simbol fasa baru perjalanan muzik mereka dalam industri hiburan tanah air.
Menariknya, walaupun ini lagu pertama di bawah nama Second Plan, “Berhari Raya” sebenarnya lagu raya ketiga mereka secara keseluruhan selepas “Inilah Harinya” dan “Ingatan di Hari Raya”. Maknanya, mereka memang ada ‘track record’ bila masuk bab lagu raya.

Dari segi konsep, lagu ini memang ada jiwa retro. Bayangkan suasana Syawal zaman dulu-dulu penuh warna, penuh senyum, penuh rasa kekeluargaan. Elemen 60-an itu bukan sekadar gimik, tapi betul-betul jadi nadi kepada susunan muziknya.
Lagi satu fakta yang buat kita angkat kening: keseluruhan proses rakaman dan pembikinan lagu ini siap dalam masa dua hingga tiga hari sahaja. Cepat, tapi hasilnya tetap kemas dan segar.

Menurut Zimi, lagu ini sebenarnya dihasilkan atas permintaan peminat. Jadi boleh kata, “Berhari Raya” ini memang hadiah khas buat mereka yang setia menyokong perjalanan seni kumpulan ini sejak dulu lagi.
Single terbitan Nova Music Malaysia ini mula boleh distrim di semua platform digital pada 27 Februari 2026. Video muzik rasmi pula bakal dilancarkan menerusi saluran YouTube Nova Music Videos dalam masa terdekat. Dan kalau ikut bayangan yang diberikan, ini baru permulaan. Selepas musim raya, Second Plan dijangka terus aktif dengan single baharu. Nampaknya 2026 bakal jadi tahun sibuk buat mereka.

Akhir kata, dalam lambakan lagu raya moden setiap tahun, “Berhari Raya” hadir sebagai pilihan untuk yang rindu sentuhan klasik tapi tak mahu bunyi terlalu lama. Sesuai pasang masa kemas rumah, drive balik kampung, atau lepas habis sesi bergambar OOTD raya.



Comments