Satu, Dua… Dia? — Drama Baharu Viu Dedah Dunia Glamor, konflik dan Gosip Boyband Malaysia
- N
- 4 hours ago
- 2 min read

Viu Malaysia, platform penstriman OTT milik PCCW yang terkenal di seluruh rantau Asia, mengumumkan tayangan perdana Satu, Dua… Dia? (The Boy Next Stage) sebuah drama baharu yang membawa penonton menyelami dunia glamor dan konflik industri muzik tempatan. Siri 15 episod ini akan ditayangkan secara eksklusif di Viu bermula 23 Oktober 2025, dengan dua episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.
Satu, Dua… Dia? memaparkan kisah di sebalik tabir kumpulan boyband fiksyen RIV4L, yang sarat dengan tekanan dunia hiburan, gosip, serta cabaran kemasyhuran di alam maya.
Plot utama drama ini mengisahkan Mia, seorang pelajar kolej yang hidup dua identiti pelajar biasa dan penulis blog gosip bernama “Ma Belle”. Demi mengejar klik dan populariti, Mia menulis artikel sensasi mengenai Isa, vokalis utama kumpulan RIV4L.
Namun, tulisannya membawa padah apabila Isa mengambil tindakan undang-undang. Dalam usaha menebus kesilapan, Mia menyusup masuk ke dunia

RIV4L untuk membersihkan nama Isa. Tapi semakin lama, dia mula mengenali sisi sebenar idolanya — seorang lelaki denganrahsia besar yang mampu menghancurkan kariernya sendiri.
Siri ini dibintangi oleh Erysha Emyra sebagai Mia dan Ariel Fesol sebagai Isa, yang membentuk gandingan penuh kimia dan emosi. Turut membintangi ialah Zarif Ghazzi, Afiq Hamidon, Rizal Rasid, dan Fimie Don.

Menariknya, Satu, Dua… Dia? menampilkan Ariel Fesol dan Rizal Rasid daripada kumpulan boyband sebenar, ALPHA, yang memainkan peranan sebagai ahli kumpulan RIV4L. Gabungan ini memberi sentuhan realistik kepada dunia drama, menjadikannya seolah-olah cermin kepada industri hiburan sebenar.

Lebih menarik, ahli-ahli ALPHA yang lain juga akan muncul sebagai cameo istimewa sepanjang siri ini.

Viu Malaysia turut membawa dunia Satu, Dua… Dia? ke luar skrin melalui pelbagai aktiviti interaktif.
Antaranya, ahli Kelab Peminat Viu terpilih akan berpeluang menjadi pelakon tambahan dalam babak konsert utama serta menghadiri sesi bertemu mesra bersama para pelakon.
Acara ini akan dimeriahkan lagi dengan persembahan langsung daripada ALPHA dan Fimie Don.
Disutradarai oleh legenda muzik dan filem, Dato’ Yusry Abdul Halim (KRU), siri ini menggabungkan dunia muzik dan drama dengan gaya visual serta emosi yang kuat. Kolaborasi ini turut diperluas bersama ICON Entertainment sempena KRU Concert Finale – One More Time di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Konsert ini akan menampilkan treler eksklusif, penampilan pelakon, serta ruang interaktif Viu Boothyang menghubungkan dunia muzik dan digital secara langsung dengan para peminat.
Jangan lepaskan tayangan perdana Satu, Dua… Dia? bermula 23 Oktober 2025 di Viu.
Comments