top of page

Ryeowook Super Junior Kembali Dengan Single Baharu ‘Runaway’

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

Peminat K-pop khususnya ELF pasti teruja apabila Ryeowook Super Junior akhirnya kembali dengan single baharu berjudul Runaway. Lebih istimewa, pelancaran lagu ini hadir sempena ulang tahun ke-10 perjalanan karier solo penyanyi bersuara emas itu.


Selepas kali terakhir tampil dengan lagu Lingering pada Disember 2023, Ryeowook kini kembali membawa karya yang bukan sekadar sedap didengar, tetapi turut menyampaikan mesej yang dekat dengan kehidupan ramai orang. Dalam dunia yang serba pantas dan sibuk, Runaway mengajak pendengar untuk berhenti seketika, menarik nafas dan memberi ruang kepada diri sendiri untuk berehat sebelum meneruskan perjalanan harian.


Bagi mereka yang sering berdepan tekanan kerja, tugasan belajar atau rutin harian yang meletihkan, mesej yang dibawa menerusi lagu ini mungkin akan terasa cukup relevan. Kadang-kadang, apa yang kita perlukan bukanlah terus memaksa diri bergerak ke hadapan, tetapi mengambil masa untuk ‘recharge’ dan kembali dengan tenaga baharu.


Menariknya, Runaway bukan sahaja dilancarkan sebagai single digital, malah turut diterbitkan dalam bentuk album fizikal. Selain lagu utama Runaway, album tersebut mengandungi dua lagu sampingan iaitu Defined dan Chamomile.


Menurut Ryeowook, proses menghasilkan lagu kali ini memerlukan perhatian yang cukup teliti. Penyanyi itu mengakui dia banyak meluangkan masa untuk memahami lirik dengan lebih mendalam, memperhalusi gaya vokal serta melakukan beberapa sesi rakaman semula bagi memastikan hasil akhir benar-benar memuaskan.


Untuk yang mungkin baru mengenalinya, Ryeowook mula mencipta nama sebagai anggota kumpulan K-pop terkenal, Super Junior, sejak tahun 2005. Selepas lebih sedekad aktif bersama kumpulan tersebut, beliau memulakan karier solo menerusi mini album The Little Prince pada tahun 2016.


Kini, selepas 10 tahun bergelar artis solo, Runaway dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam perjalanan muzik Ryeowook. Dengan mesej yang menenangkan dan vokal yang sentiasa menjadi kekuatannya, lagu ini berpotensi menjadi teman pendengar yang sedang mencari sedikit ketenangan dalam kesibukan hidup.


Buat peminat di Malaysia, kemunculan semula Ryeowook ini pastinya menjadi satu lagi sebab untuk menambah Runaway ke dalam senarai lagu wajib dengar minggu ini.

Comments


bottom of page