Ryan Reynolds ‘Usik’ Peminat Dengan Petanda Deadpool Bakal Sertai Avengers?
- kaypohmedia
- 2 days ago
- 1 min read
Pelakon popular Hollywood, Ryan Reynolds sekali lagi membuatkan peminat Marvel Cinematic Universe (MCU) teruja apabila memuat naik satu hantaran misteri di Instagram yang seolah-olah memberi petanda besar Deadpool mungkin akan menyertai Avengers!

Awal pagi Selasa (12 Ogos), aktor berusia 48 tahun itu berkongsi sekeping gambar logo Avengers yang huruf “A”-nya disembur cat merah, persis gaya ‘vandalisme’ nakal karakter Deadpool. Menariknya, hantaran itu langsung tidak disertakan kapsyen atau penjelasan lanjut, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi daripada peminat di seluruh dunia.
Bagi peminat tegar MCU, tanda ini memberi bayangan Deadpool akan membuat kemunculan dalam filem besar seperti Avengers: Doomsday yang dijadualkan tayang pada 18 Disember 2026, diikuti Avengers: Secret Wars pada 17 Disember 2027. Kedua-dua tarikh tayangan ini baru sahaja diumumkan mengalami sedikit penundaan.
Marvel sebelum ini telah mendedahkan barisan pelakon untuk Doomsday, dengan ramai bintang ternama kembali memegang watak superhero kegemaran ramai. Namun, sama ada Deadpool benar-benar akan menjadi sebahagian daripada pasukan Avengers masih lagi menjadi tanda tanya dan Ryan Reynolds nampaknya mahu peminat terus berteka-teki.
Dengan reputasi Deadpool yang penuh humor sarkastik dan aksi tidak terjangka, kehadirannya dalam Avengers pastinya akan membawa dimensi baru dalam naratif MCU. Sama ada ini sekadar ‘teasing’ nakal atau pengumuman terselindung, peminat Marvel kini sudah bersedia untuk kemungkinan epik ini.
Comments