top of page

Rakaman Di Hospital Bahagia Jadi Bukti Komitmen Yasin Sulaiman Dalam Pembikinan Yang Tinggal

  • Writer: N
    N
  • 11 minutes ago
  • 2 min read

Di sebalik kolaborasi bersejarah Malique, Zizi Kirana dan Yasin Sulaiman menerusi Yang Tinggal, tersimpan satu kisah yang cukup menyentuh hati.

Antara detik paling bermakna sepanjang pembikinan lagu ini ialah apabila sesi rakaman vokal Yasin dijalankan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, ketika beliau sedang menjalani rawatan.

Menurut pihak penerbit, proses merealisasikan kolaborasi tersebut bukan sesuatu yang mudah. Demi memastikan Yasin dapat menjadi sebahagian daripada karya ini, pasukan produksi melalui pelbagai proses koordinasi bersama pihak hospital, pihak berkuasa dan kakitangan perubatan sebelum memperoleh kebenaran untuk menjalankan rakaman di lokasi berkenaan.

Dengan kelengkapan rakaman dibawa masuk ke hospital, Yasin akhirnya berjaya merakamkan bahagian vokalnya tanpa perlu menjejaskan proses rawatan yang sedang dilaluinya. Usaha itu mencerminkan komitmen semua pihak untuk memastikan karya ini dapat direalisasikan seperti yang dirancang.


Perjalanan luar biasa itu turut dikongsikan kepada pihak media ketika sidang media pelancaran Yang Tinggal. Antara yang paling mencuri perhatian ialah beberapa foto yang memperlihatkan Malique menziarahi Yasin sepanjang proses pembikinan lagu tersebut. Gambar-gambar itu sebelum ini pernah dimuat naik secara berasingan pada penghujung 2025 tanpa penjelasan lanjut, sekali gus mengundang pelbagai tanda tanya dalam kalangan peminat.

Hanya selepas pelancaran Yang Tinggal, barulah umum mengetahui bahawa pertemuan tersebut sebenarnya merupakan sebahagian daripada usaha menghasilkan lagu berkenaan. Bagi ramai peminat, pendedahan itu memberi dimensi baharu terhadap kolaborasi ini, yang bukan sekadar menyatukan tiga nama besar industri muzik, malah memperlihatkan nilai persahabatan, saling menghormati dan semangat untuk terus berkarya walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Lebih daripada sekadar sebuah sesi rakaman, detik di Hospital Bahagia menjadi antara simbol paling kuat dalam pembikinan Yang Tinggal. Ia membuktikan bahawa muzik bukan sahaja mampu menyampaikan emosi kepada pendengar, malah turut menyimpan kisah perjuangan, kepercayaan dan kemanusiaan di sebalik setiap karya yang dihasilkan.

Comments


bottom of page