top of page

Putera Bobo Curi Hati Pendengar Dengan Korban Rindu

  • Writer: Nurul Safiah
    Nurul Safiah
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Remaja berusia 14 tahun, Putera Bobo, membuktikan bahawa bakat sebenar tidak mengenal usia apabila single sulungnya Korban Rindu berjaya mencuri perhatian pendengar tempatan.

 

Meskipun baru dilancarkan enam hari lalu, muzik video lagu tersebut di saluran YouTube Nova Music Videos sudah meraih lebih 185,000 tontonan sekali gus mencerminkan sambutan yang kian memberangsangkan.

 

Putera Bobo, atau nama sebenarnya Putera Shah Nasratullah bin Mohd Nasran, mula mencipta nama apabila video nyanyiannya sambil memakai maskot beruang mendendangkan lagu Korban Perceraian menjadi tular di TikTok dengan lebih 5 juta tontonan.

 

Tertarik dengan bakat semula jadi Putera, Azian Zaid Khan dengan bantuan Molek FM dan komposer terkenal Eddie Hamid, memberi peluang kepada Putera untuk merakamkan lagu khas Korban Rindu.

 

Lagu ciptaan Eddie Hamid bersama penulis lirik Jaju, Hakim Hakimi, dan Te Ha itu mengangkat tema rindu dan pengorbanan, disampaikan penuh penghayatan oleh Putera yang nyata memiliki aura istimewa sebagai penyanyi muda.

 

Lagu ini kini boleh distrim di semua platform digital, manakala muzik video rasmi terus mengumpul sokongan peminat yang yakin suara muda ini mampu pergi jauh.

 

Dengan bakat, sokongan padu dan penerimaan hangat peminat, Putera Bobo sedang melakar tapak untuk menjadi salah satu ikon baharu industri muzik Malaysia.



Comments


bottom of page