top of page

Puisi Tak Pernah Mati, Cinta Lama Kembali Bernyawa Dalam Keindahan Filem ‘RANGGA & CINTA’!

  • Writer: N
    N
  • 21 hours ago
  • 2 min read

Pernah suatu ketika, kisah cinta remaja sederhana bernama Ada Apa Dengan Cinta? mencetuskan fenomena besar di seluruh rantau pada tahun 2002. Dua dekad berlalu, kisah yang pernah menjadi simbol cinta pertama itu kini kembali bernafas kali ini dalam versi baharu berjudul Rangga & Cinta, arahan sutradara tersohor Riri Riza di bawah Miles Films.

ree

Puisi tak pernah mati, dan cinta lama itu kini bernyanyi semula untuk generasi yang baharu dalam bentuk filem muzikal romantik yang sarat dengan nostalgia, emosi, dan keindahan jiwa muda.


Menampilkan dua bintang muda berbakat, Leya Princy sebagai Cinta dan El Putra Sarira sebagai Rangga, filem ini turut mendapat sentuhan hebat daripada trio penerbit berpengalaman Mira Lesmana, Toto Prasetyanto, dan Nicholas Saputra.


Rangga & Cinta bukan sekadar adaptasi, tetapi pertembungan dua zaman: kenangan cinta zaman persekolahan yang klasik digabung dengan semangat moden yang ceria dan segar. Ia menghidupkan kembali memori peminat lama sambil memperkenalkan rasa baharu kepada generasi muda.


Cerita bermula dengan Cinta, seorang pelajar popular dan berbakat yang gemar berpuisi. Namun, dunia remajanya berubah selepas gagal dalam pertandingan puisi di sekolah di situlah dia bertemu Rangga, pelajar pendiam yang menjuarai pertandingan tersebut. Daripada perbezaan dan ketegangan, tumbuhlah satu ikatan yang tidak dijangka cinta yang polos, tulus dan penuh makna.

Treler berdurasi 30 saat yang baru dilancarkan memperlihatkan visual yang memukau dan muzik yang menyentuh jiwa, membangkitkan nostalgia Ada Apa Dengan Cinta? tetapi dengan nafas baharu.


Lagu-lagu asal yang digubah khas bukan sahaja menguatkan naratif filem, tetapi turut menjadi jiwa utama cerita membalut rasa cinta, rindu, dan pencarian diri yang dekat di hati penonton muda hari ini.


Filem ini bukan sekadar usaha mengulang formula lama. Sebaliknya, Rangga & Cinta merupakan surat cinta buat industri filem Indonesia, satu penghormatan kepada karya klasik yang pernah membentuk sejarah sinema Nusantara.


Ia menggabungkan puisi, muzik, dan visual dalam satu pengalaman sinematik yang indah dan menggamit perasaan mengajak penonton untuk jatuh cinta sekali lagi, kali ini dengan irama, kata-kata dan keindahan visual yang luar biasa.


Rangga & Cinta bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 6 November 2025.

Comments


bottom of page