“Persiapan Seorang Aktor” Kembali ke Pentas
- Nurul Safiah
- 1 day ago
- 1 min read

Sebuah naskhah teater yang pernah mencuri perhatian di pentas seni tempatan kini kembali dengan lebih matang. “Persiapan Seorang Aktor”, hasil karya Mask Team, bakal menemui penonton di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada 17 hingga 20 Julai 2025.
Teater ini menyatukan figura besar seni tanah air iaitu Nam Ron, Aloy Paradoks dan Fazleena Hishamuddin di bawah pengarahan Syahrul Musa dan skrip tulisan Saat Omar.
Naskhah yang pernah meraih anugerah Best Original Script & The Best of 2024 di BOH Cameronian Arts Awards ini akan membawa penonton menyusuri dunia batin seorang pelakon yang obses untuk mencapai kesempurnaan lakonan.

“Persiapan Seorang Aktor” bukan hanya sekadar cerita tentang lakonan, tetapi juga tentang pertarungan emosi, spiritual dan pengorbanan yang tersembunyi di sebalik cahaya pentas.
Ia mendedahkan tekanan serta cinta mendalam terhadap seni, melalui mata dan jiwa seorang anak seni yang menjadikan pentas sebagai tempat mencari makna hidup.
Mengukuhkan lagi kekuatan produksi, naskhah ini turut mendapat sokongan kreatif daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerusi Fakulti Filem, Teater dan Animasi.
Kolaborasi ini menyatukan bakat industri dan akademik demi memberi pengalaman teater yang lebih mendalam dan berjiwa.

Mask Team juga memperkenalkan program “Casting Call” sebuah peluang eksklusif untuk pencarian bakat baharu dalam dunia lakonan sepanjang pementasan berlangsung, sekali gus membuka ruang untuk generasi muda mencorak langkah dalam dunia seni secara profesional.
Tiket sudah mula terjual menerusi www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM78 dan RM98.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri naskhah penuh penghayatan ini yang dijangka menjadi antara pementasan teater paling berkesan tahun ini.

Comments