Pelik Tapi Benar: IG Akim Ahmad Tiba-Tiba Post Gambar Random, Rupa-Rupanya…
- kaypohmedia
- 6 days ago
- 1 min read

Penyanyi dan vokalis kumpulan Akim & The Majistret, Akim Ahmad, menjadi mangsa terbaru jenayah siber apabila akaun Instagram miliknya yang memiliki lebih 1.5 juta pengikut digodam individu tidak bertanggungjawab pada Isnin lalu.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pihak pengurusan Akim melalui satu kenyataan rasmi di Instagram kumpulan Akim & The Majistret, yang turut mengingatkan para peminat agar tidak membalas sebarang mesej atau menekan pautan mencurigakan yang dihantar dari akaun tersebut.

"Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kembali akses ke akaun tersebut. Kepada semua pengikut, mohon jangan respon atau klik sebarang pautan yang mungkin dihantar oleh penggodam," kata kenyataan itu.

Kejadian mula mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat apabila akaun tersebut memuat naik beberapa foto secara rawak tanpa sebarang kapsyen — satu petanda jelas bahawa akaun tersebut tidak lagi di bawah kawalan pemilik asal.
Lebih membimbangkan, beberapa pengikut turut melaporkan menerima mesej peribadi yang mengandungi pautan meragukan daripada akaun berkenaan. Ini menimbulkan kebimbangan bahawa penggodam mungkin cuba memperdaya pengikut lain untuk menjadi mangsa seterusnya.
Insiden ini bukan sahaja mengganggu privasi dan keselamatan digital artis terbabit, tetapi turut menjadi peringatan penting kepada orang ramai agar lebih berhati-hati ketika melayari media sosial.
"Kalau nampak pautan pelik-pelik, jangan tekan. Zaman sekarang ni macam-macam cara orang nak godam akaun. Hati-hati semua," pesan seorang peminat di ruangan komen.
Dalam era digital yang semakin canggih ini, isu keselamatan siber wajar diberi perhatian serius, bukan sahaja oleh selebriti tetapi juga pengguna media sosial secara amnya. Peminat Akim turut berharap agar penyanyi kesayangan mereka dapat segera mendapatkan semula akses ke akaunnya.
Comments