top of page

Papa Zola The Movie Pecah Rekod, Kutip RM25.6 Juta Dalam 11 Hari

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 7 minutes ago
  • 2 min read
ree

Papa Zola The Movie terus buat bising di pawagam bila berjaya meraih kutipan lebih RM25.6 juta hanya dalam tempoh 11 hari tayangan. Filem terbitan MONSTA Studio dan Astro Shaw ini bukan sekadar laku keras, malah berjaya mendominasi carta Top 10 GSC di kedudukan nombor satu, mengetepikan filem antarabangsa berprofil tinggi seperti Avatar: Fire And Ash, Zootopia 2 dan Five Nights At Freddy’s 2.


Kejayaan ini jelas dipacu oleh sokongan penonton pelbagai peringkat usia, terutamanya keluarga yang mengambil peluang menonton bersama sempena musim cuti persekolahan. Papa Zola The Movie dilihat menjadi pilihan utama untuk aktiviti hujung tahun, sekali gus membuktikan filem animasi tempatan masih relevan dan dekat dengan penonton.


ree

Pengarah dan penulis filem ini merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, menyifatkan sambutan hangat ini sebagai satu perkembangan yang sangat bermakna. Menurutnya, musim cuti persekolahan membuka ruang kepada keluarga untuk meluangkan masa bersama dan Papa Zola The Movie dipilih sebagai antara pengisian utama. Lebih menarik, sokongan ini berkembang secara organik melalui perkongsian pengalaman penonton sendiri, mencetuskan apa yang digelar sebagai fenomena kebenaran, sekali gus membuktikan kuasa word of mouth dalam menyokong filem tempatan.


Sementara itu, Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie, Raja Jastina Raja Arshad turut meluahkan rasa syukur atas pencapaian luar biasa ini. Dalam persaingan sengit dengan filem-filem francais Hollywood, kejayaan Papa Zola The Movie menjadi bukti bahawa industri kreatif tempatan mampu menghasilkan karya berkualiti tinggi yang menepati citarasa penonton pelbagai lapisan. Sokongan berterusan daripada peminat dan penonton menjadi pemangkin utama kejayaan filem ini.


Fenomena Papa Zola turut dirasai di luar pawagam apabila siri jelajah hujung minggu lalu diadakan di Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Lembah Klang. Kehadiran maskot Papa Zola, Mama Zila, Pipi Zola dan BoBoiBoy disambut meriah, sekali gus mengukuhkan lagi demam Papa Zola The Movie dalam kalangan peminat.




Dari segi penceritaan, Papa Zola The Movie mengangkat kisah seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Segalanya berubah apabila Papa Zola bertemu semula dengan rakan lama daripada organisasi rahsia P.A.P.A. Keadaan menjadi semakin tegang apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing, memaksa Papa Zola dan Mama Zila bertindak pantas demi menyelamatkan anak mereka serta melindungi dunia daripada ancaman besar.


Buat masa ini, Papa Zola The Movie masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Filem ini juga bersedia melangkah ke pasaran antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia, sebelum menembusi India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah termasuk Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026. Nampaknya, perjalanan Papa Zola baru sahaja bermula dan momentumnya masih jauh dari reda.

Comments


bottom of page