Pak Su Ammara Mula Gegarkan Slot Megadrama, Isu Poligami Jadi Bualan Panas
- Atiqah Halim

- 1 day ago
- 2 min read

Drama terbaru slot Megadrama, Pak Su Ammara, akhirnya bersiaran malam ini di Astro Ria dan nampaknya terus sasarkan emosi penonton. Sejak klip promosinya tular di media sosial, drama ini sudah pun jadi topik hangat dengan pelbagai reaksi dan teori awal daripada peminat yang tak sabar menunggu episod pertama.
Mengangkat kisah realiti rumah tangga yang sensitif, Pak Su Ammara menyentuh isu suami yang menuntut hak poligami serta konflik anak yang terlalu menghambakan ibu bapa. Jalan cerita yang dekat dengan realiti ini membuatkan ramai meramalkan drama ini bakal mencetuskan perdebatan, sama seperti beberapa naskhah Megadrama sebelum ini.
Barisan pelakonnya juga bukan calang-calang. Pak Su Ammara dibintangi Que Haidar, Ummi Nazeera dan Syazwan Zulkifly, disokong oleh Zaleha Iman, Mia Nasir, Shah Iskandar, Raja Azmi, Shweta Sekhon, Hana Aqeela serta Datin Fadilah Mansor. Gabungan nama besar dan pelakon berkaliber ini membuatkan jangkaan penonton semakin tinggi.

Que Haidar yang membawa watak Pak Su mengakui dirinya teruja menerima tawaran drama ini, terutamanya kerana peluang untuk bergandingan dengan Ummi Nazeera.
“Saya ambil tawaran ini sebab mahu bekerja dengan Ummi Nazeera. Saya mahu bekerja dengan beliau. Ummi banyak membantu saya. Selain Ummi, saya juga dibantu oleh pelaku seni handalan, Dian P Ramlee dan pembawa watak Ammara juga bermain dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Ummi Nazeera pula berkongsi pandangan jujur tentang kolaborasi pertamanya bersama Que Haidar di layar kaca.
“Pertama kali berjumpa Que Haidar, saya rasa beliau pemalu. Walaupun pemalu, beliau ‘gila’ jadi ia menutup sikap malu itu,” ujar Ummi sambil berseloroh.

Dengan tema berat, lakonan mantap dan perbualan hangat di media sosial, Pak Su Ammara dijangka menjadi antara drama paling diperkatakan musim ini. Jangan lupa untuk saksikan Pak Su Ammara setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan juga boleh distrim melalui aplikasi Sooka, bila-bila masa dan di mana sahaja.









Comments