Nusa Fest 2025 Tampil dengan Nidji x Bunkface
- Atiqah Halim

- 1 day ago
- 2 min read

Nusa Fest kembali dan kali ini penganjur Shiraz Projects memilih pendekatan lebih fokus tetapi tetap berimpak tinggi. Tidak seperti edisi 2023 yang dipenuhi deretan artis besar, Nusa Fest Presents Nidji x Bunkface memberi sepenuh kepercayaan hanya kepada dua kugiran yang sudah lama membuktikan kekuatan masing-masing.
Nidji dari Indonesia bakal membawa lagu-lagu malar segar seperti Cinta dan Sumpah Matiku yang sering menghidupkan aura stadium, sementara Bunkface sebagai wakil Malaysia diyakini mampu menambah intensiti dengan semangat Malam Ini Kita Punya yang menjadi identiti mereka. Walaupun hanya dua nama mengisi barisan tahun ini, penganjur yakin malam tersebut tetap akan mencipta detik epik sebelum 2026 melabuhkan tirai.
Menurut Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, pemilihan dua nama ini bukan keputusan terburu buru. Beliau menegaskan Nidji sentiasa membawa energi besar setiap kali tampil di Malaysia, sementara Bunkface pula memiliki kredibiliti tinggi dalam setiap penganjuran pentas besar. Gabungan dua kugiran ini dijangka membuka ruang apresiasi silang budaya antara kedua-dua negara di bawah satu bumbung.
Vokalis Bunkface, Sam, turut menyifatkan projek ini sebagai bukti sinergi pemuzik Malaysia dan Indonesia yang terus berkembang. Katanya, Nusa Fest Presents Nidji x Bunkface bukan sekadar konsert tetapi peluang untuk memberikan momen berharga kepada peminat kedua-dua kumpulan.
Dari Indonesia, vokalis Nidji, Yusuf Ubay, menyatakan keterujaan untuk kembali ke Kuala Lumpur. Menurutnya, ia bukan sekadar destinasi pentas tetapi seakan rumah sendiri. Mereka membuka tahun di sini dan menutupnya juga di sini, kali ini dengan konsep yang lebih matang dan meraikan nilai persahabatan serta penyatuan melalui muzik.
Dengan persediaan rapi dari kedua dua pihak, peminat digalakkan mendapatkan tiket lebih awal.

Harga tiket adalah seperti berikut:
Rockzone Standing RM228
Gold Standing RM148
Diamond Seated RM198
Platinum Seated RM168
Pembelian boleh dibuat di Ticket2u.
Nusa Fest Presents Nidji x Bunkface akan berlangsung pada 21 Disember 2025 di Megastar Arena Kuala Lumpur. Ini peluang untuk menutup tahun dengan persembahan yang dijanjikan penuh energi dan kenangan. Sampai jumpa di sana!









Comments