Nukilan Shiha Zikir dalam ‘Renjana’ Buat Ramai Menangis
- Nurul Safiah
- 6 hours ago
- 1 min read

Penyanyi Shiha Zikir menyentuh hati ramai apabila berkongsi sisi paling peribadi menerusi muzik video terbaharunya, Renjana.
Lagu yang dilancarkan di YouTube ini bukan sekadar karya muzik, tetapi sebuah dedikasi tulus buat arwah bapanya, Allahyarham Mohd Zikir Abdul Hamid.
Dalam satu hantaran di Instagram, Shiha, 38, meluahkan rasa rindu yang tidak pernah padam terhadap insan tersayang yang telah pergi sejak 2008.
“Kalau diberi peluang jumpa Abah sekali lagi.. Shiha cuma nak peluk Abah kuat-kuat. Banyak yang Shiha nak cerita, macam dulu,” luah Shiha.

Apa yang menjadikan Renjana begitu istimewa ialah video muziknya yang menampilkan situasi sebenar daripada kehidupan Shiha termasuk momen memancing bersama arwah bapanya serta detik mengharukan ketika Allahyarham menghadiahkan sebuah walkman yang dibelinya hasil berhutang, sebagai tanda sokongan untuk Shiha mengejar impian menjadi penyanyi.
Diterbitkan di bawah label Shiha Zikir Empire dan Sony Music Entertainment Malaysia, Renjana digarap sepenuhnya oleh Shiha sendiri bersama gubahan muzik oleh sahabatnya, Zimi Sofazr.

Setakat ini, muzik video tersebut telah mencatat lebih 200,000 tontonan, membuktikan sambutan luar biasa daripada peminat dan warganet yang turut meluahkan rasa tersentuh dengan kisah yang dikongsikan.
Shiha berharap lagu ini dapat menyampaikan mesej pengharapan dan kasih yang mendalam, bukan hanya kepada mereka yang pernah kehilangan insan tersayang, tetapi juga sebagai peringatan untuk menghargai ibu bapa selagi masih ada.
Comments