NONA & TV3 Raikan Ulang Tahun ke-41 dengan Penuh Gaya dan Kek Kreatif di Acara Cake Piknik
- kaypohmedia
- 10 hours ago
- 2 min read

Program ikonik wanita Malaysia, NONA, menyambut ulang tahun ke-41 bersama saluran TV3 dalam satu acara penuh warna-warni, inspirasi dan keindahan Cake Piknik! Disiarkan secara eksklusif dalam episod khas di TV3, sambutan ini bukan sekadar nostalgia, malah mengangkat nilai kewanitaan, kreativiti dan solidariti komuniti tempatan.
Bertempat di Villa Rimba Flora, Sungai Buloh, acara bertemakan alam semula jadi ini dimeriahkan oleh hos NONA, Amyra Rosli, yang menceriakan suasana dengan penuh mesra dan pesona. Kolaborasi bersama Cake Piknik menjadikan sambutan ini unik, setiap tetamu hadir membawa kek ciptaan mereka, menzahirkan simbolik 41 tahun NONA dan TV3 dalam bentuk kek yang kreatif dan bermakna.

Deretan kek yang dihias indah berlatar belakangkan dekor pastel mencuri tumpuan, menjadikan suasana bukan hanya sedap mata memandang tetapi penuh emosi dan penghargaan. Persembahan pembukaan oleh penyanyi popular Nabila Razali membuka tirai acara dengan semangat dan gaya tersendiri.
Antara momen kemuncak ialah sesi Dramatic Success yang mengetengahkan kisah inspirasi daripada dua usahawan kulinari terkenal, Chef Kecik dan Nor Arieni Adriena. Mereka berkongsi kisah jatuh bangun dalam dunia perniagaan makanan, memberi suntikan semangat kepada semua yang hadir, terutamanya golongan wanita muda.
Menyerlahkan lagi kreativiti dan semangat wanita, sesi demonstrasi "Air Tangan" bersama baker terkenal, Jessica dari @missshortcakes, memukau hadirin apabila beliau menghias kek Mille Feuille berbentuk angka 41 sebagai simbol ulang tahun TV3. Momen ini bukan sahaja cantik dilihat, tetapi juga menyentuh hati sebagai simbol perjalanan panjang dan penuh warna.

Acara ini turut menyaksikan penyampaian anugerah Most Dramatic Cake Award, di mana para baker tempatan diberi pengiktirafan atas kreativiti, emosi dan reka bentuk unik kek mereka. Juri terdiri daripada wakil TV3 dan tetamu khas yang menilai setiap rekaan dengan teliti.
Tidak cukup dengan itu, pelbagai aktiviti vendor, cabutan bertuah dan sesi merasa kek bersama pembuatnya memeriahkan lagi suasana menjadikan Cake Piknik bukan hanya sebuah sambutan, malah satu penghargaan terhadap komuniti kreatif tempatan, terutamanya wanita dalam industri bakeri dan perniagaan kecil.
Sambutan ulang tahun ke-41 NONA dan TV3 ini membuktikan bahawa semangat wanita Malaysia terus berkembang penuh gaya, penuh rasa dan penuh makna.
Comentarios