top of page

Neraka Yang Terhijab: Bila Hidup, Maruah & Duit Jadi Perang Besar Dalam Diri Adda

  • Writer: Tasnim Ahmad
    Tasnim Ahmad
  • 2 days ago
  • 2 min read

Kalau kau fikir drama Melayu sekarang dah biasa-biasa saja, Neraka Yang Terhijab mungkin akan ubah persepsi tu. Siri terbaru ini mengangkat kisah tekanan hidup, maruah dan dilema moral yang makin berat bila seseorang terperangkap dalam keadaan tak ada pilihan. Bermula 4 Jun 2026 di Tonton, drama ini menampilkan Ezzanie Jasny sebagai Adda iaitu seorang pelajar universiti yang hidupnya mula runtuh perlahan-lahan.


Adda bukan hidup dalam dunia yang mudah. Dia cuba teruskan pengajian, cuba bantu keluarga, tapi segalanya jadi lebih parah bila wang biasiswanya sendiri disalahgunakan oleh ayahnya, Malik. Dari situ, dia mula terhimpit antara tanggungjawab dan realiti hidup yang makin menekan, sampai satu tahap dia sendiri tak pasti mana satu jalan yang betul.


Dalam usaha untuk terus bertahan, Adda akhirnya diperkenalkan kepada “The Floor”, sebuah dunia elit yang penuh kemewahan, pesta dan orang-orang berpengaruh. Awalnya dia menolak, tapi bila tekanan hidup semakin menghimpit, dia akhirnya terperangkap dalam kehidupan berganda yang jauh daripada dirinya yang asal. Dari luar nampak mewah, tapi di dalamnya penuh risiko dan pengorbanan yang tak semua orang mampu tanggung.


Situasi jadi lebih rumit bila Adda terlibat dalam konflik dua beradik tiri, Annas (Lorenzo Irman) dan Zakwan (Arfie Shah). Seorang mempergunakan keadaan, seorang lagi mula menyimpan rasa yang sukar dijelaskan. Tapi dalam dunia yang penuh manipulasi dan rahsia, tiada siapa yang benar-benar jujur termasuk Adda sendiri yang semakin hilang arah.


Bagi Ezzanie Jasny, watak Adda cukup berat kerana ia dekat dengan realiti sesetengah orang yang terpaksa buat keputusan di luar kemampuan diri. “Adda bukan perempuan jahat, dia cuma terlalu penat berjuang seorang diri,” katanya, menggambarkan emosi sebenar di sebalik watak tersebut.


Neraka Yang Terhijab bukan sekadar drama cinta atau konflik keluarga biasa. Ia tentang harga sebuah pilihan, dan sejauh mana seseorang sanggup mengorbankan diri demi kelangsungan hidup. Dan untuk Adda, persoalan paling besar masih belum terjawab, bila semuanya sudah terlalu jauh, adakah masih ada jalan untuk dia kembali semula?


Saksikan Neraka Yang Terhijab bermula 4 Jun 2026, setiap Khamis hingga Ahad, eksklusif di Tonton.

Comments


bottom of page