Nadin Amizah dan Feby Putri Bakal Kongsi Pentas di Kota Kinabalu
- N

- Mar 11
- 2 min read

Peminat muzik Indonesia di Sabah ada sebab untuk teruja tahun ini. Menerusi acara Melodi Malam 2.0, dua penyanyi popular dari Indonesia iaitu Nadin Amizah dan Feby Putri bakal berkongsi pentas dalam satu malam persembahan istimewa di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 23 Mei 2026 jam 8 malam. Konsert ini dijangka menjadi antara acara muzik yang paling dinanti peminat di Sabah tahun ini.
Acara yang dianjurkan oleh Sembang Kari Entertainment ini turut menandakan kali pertama Nadin Amizah dan Feby Putri tampil bersama di Kota Kinabalu. Gabungan dua suara yang terkenal dengan lagu-lagu puitis dan penuh emosi ini dijangka mencipta suasana yang lebih intim dan dekat dengan penonton.
Menurut Pengarah Urusan Sembang Kari Entertainment, Amar Syah, Melodi Malam 2.0 diwujudkan dengan konsep yang sedikit berbeza daripada konsert biasa. Ia dirancang untuk memberikan pengalaman muzik yang lebih peribadi dan bermakna kepada penonton, khususnya peminat di Borneo yang jarang mendapat peluang menikmati persembahan artis antarabangsa dalam suasana yang lebih dekat dan santai.

Bagi Nadin Amizah, persembahan ini juga membawa makna tersendiri kerana akhirnya dapat bertemu peminatnya di Kota Kinabalu. Penyanyi yang terkenal dengan gaya muzik puitis itu meluahkan rasa gembira kerana berpeluang berkongsi lagu-lagunya secara langsung di Sabah, selain menyifatkan setiap bandar mempunyai suasana dan kenangan tersendiri buat seorang artis.

Sementara itu, Feby Putri turut berkongsi keterujaannya untuk membawa muziknya ke Kota Kinabalu buat pertama kali. Menurutnya, ramai peminat di Sabah sudah lama menantikan peluang untuk melihat persembahannya secara langsung dan beliau berharap Melodi Malam 2.0 akan menjadi malam yang hangat, penuh emosi serta meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.
Dengan konsep yang menonjolkan keindahan melodi dan emosi dalam muzik, Melodi Malam 2.0 bukan sekadar konsert biasa tetapi satu pengalaman yang menghubungkan artis dan peminat melalui lagu-lagu yang dekat dengan kehidupan. Dalam masa sama, acara seperti ini juga membantu mengukuhkan lagi kedudukan Kota Kinabalu sebagai destinasi acara hiburan antarabangsa di Malaysia.

Bagi yang berminat untuk hadir, tiket Melodi Malam 2.0 ditawarkan pada harga RM229 bagi kategori Kembali Sorai (Free Standing). Jualan tiket akan mula dibuka pada 13 Mac 2026 jam 12 tengah hari menerusi laman web rasmi penjualan tiket.



Comments