Nabila Razali Dihalang Keluarga, Nekad Kejar Cinta & Impian Jadi Chef Dalam Drama Me.N.U
- N
- 3 days ago
- 1 min read
Dunia hiburan tempatan kembali hangat dengan kehadiran drama bersiri baharu berjudul Me.N.U yang bakal menemui penonton mulai 11 September 2025, eksklusif di Tonton. Dibintangi oleh Nabila Razali dan Andi Bernadee, drama 10 episod ini menjanjikan resipi hiburan penuh rasa dengan gabungan cinta, konflik keluarga dan impian yang tidak pernah padam.

Me.N.U mengisahkan perjalanan Lisa (Nabila Razali), seorang wanita yang bertekad menjadi chef walaupun berdepan tentangan keluarga serta cabaran dunia kulinari. Impiannya untuk membuka restoran sendiri tidak mudah, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan Haris (Andi Bernadee), seorang pegawai bank yang pada awalnya menolak permohonannya.
Hubungan mereka bermula dengan pertelingkahan bak "anjing dan kucing", namun takdir menemukan mereka dalam dilema yang lebih mendalam antara cinta, keluarga dan cita-cita.
Selain Nabila dan Andi, drama arahan Faliq Sharif ini turut menampilkan nama-nama hebat seperti Natasya Mahyan, Puteri Awani, Ako Mustapha, Noniswara dan Azizah Mahzan, menambah lagi kekuatan jalan cerita.
Mengulas tentang wataknya, Nabila berkata:
"Setiap langkah, walaupun kecil, memberi pengajaran dan menjadikan kita lebih kuat. Lisa terus cekal menghadapi cabaran, demi mengejar apa yang paling bermakna baginya."

Bagi Nabila, drama ini bukan sekadar komedi romantik, tetapi juga mengangkat isu konflik keluarga, aspirasi anak muda dan keberanian seorang wanita untuk berdiri teguh mempertahankan impian.
Dengan jalan cerita yang dekat dengan realiti generasi muda, Me.N.U pastinya menjadi pilihan penonton yang menggemari kisah cinta inspirasi penuh warna. Jangan lupa saksikan tayangan perdana pada 11 September 2025 hanya di Tonton!
Comments