Muzik Video Rasmi Penjuara Dilancarkan! Runut Bunyi Ejen Ali The Movie 2 Kini Panas di Carta Muzik-Muzik 40
- N
- 17 hours ago
- 1 min read
Peminat Ejen Ali kini ada sebab untuk bersorak! Muzik video rasmi Penjuara nyanyian Hael Husaini, runut bunyi rasmi daripada Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), akhirnya dilancarkan di saluran YouTube rasmi Ejen Ali. Lebih menarik, lagu ini sudah mula mendaki Carta Mingguan Muzik-Muzik 40, membuka laluan ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40).

Disusun dengan babak-babak ikonik terus daripada filem EATM2, muzik video Penjuara bukan sekadar tontonan biasa. Ia menghidupkan kembali perjalanan penuh aksi Ali daripada operasi taktikal MATA hingga detik pertembungan dramatik bersama Neonimus. Dengan visual yang padat emosi, MV ini menggabungkan kekuatan naratif sinematik dengan irama muzik yang bertenaga.
Dihiasi beat yang catchy dan lirik penuh semangat, Penjuara mencuri perhatian sejak ia dipersembahkan. Menurut Hael Husaini, lagu ini memberi suara kepada mereka yang berani mara walau dicabar.
“Penjuara adalah tentang keberanian untuk mara ke hadapan walau dicabar dalam permainan minda. Ia semangat juang yang tidak mengenal kalah,” jelas Hael.
Tidak hairanlah lagu ini segera menjadi anthem motivasi, bukan sahaja untuk peminat muzik tempatan tetapi juga komuniti peminat tegar Ejen Ali.
Penjuara kini bersaing di Carta Muzik-Muzik 40. Untuk memastikan kelangsungan dan peluang mara ke Separuh Akhir Muzik-Muzik 40 seterusnya ke AJL40, undian peminat amat diperlukan. Undian boleh dibuat di www.tonton.com.my/muzikmuzik setiap minggu bermula Ahad, jam 12 tengah hari hingga Khamis, 12 tengah hari.
Misi sudah bermula, kini giliran peminat untuk menentukan kemenangan. Jangan lupa menonton MV penuh Penjuara di YouTube rasmi Ejen Ali dan sertai gelombang sokongan untuk Hael Husaini agar benar-benar dinobatkan sebagai Penjuara.
Comments