top of page

Mimifly Dedah Lagu ‘Sahabat’ Sebagai Runut Bunyi Rasmi Filem Mencari Ramlee

  • Writer: Nurul Safiah
    Nurul Safiah
  • 1 day ago
  • 1 min read

Updated: 12 hours ago

Penyanyi dan komposer Mimifly kini tampil dengan lagu terbaharu berjudul Sahabat, yang dipilih sebagai runut bunyi untuk filem Mencari Ramlee terbitan Playground Film dan D’Ayu Pictures.

 

Lagu tersebut merupakan ciptaan Mimifly bersama Cuurley dan pada asalnya dihasilkan sebagai dedikasi kepada sahabat rapatnya, Jojo Hassan, yang telah meninggal dunia pada 26 Januari lalu.

 

Namun setelah didengarkan kepada pengarah filem Mencari Ramlee, Megat Sharizal, lagu ini dilihat seiring dengan jiwa dan tema naskhah tersebut.

 

“Saya tidak teragak-agak. Ini lah lagunya. Jiwa dan rasa lagu Sahabat sedondon dengan filem ini,” kata penerbit Mencari Ramlee, Syahid Johan.

Menurut Mimifly, beliau tidak merancang untuk mengeluarkan lagu Sahabat sebagai single pada awalnya, namun yakin ini merupakan aturan Tuhan.

“Apabila Megat menayangkan sebuah adegan dari filem Mencari Ramlee, saya tahu lagu ini memang sesuai untuk naskhah ini,” kata Mimifly.

Mimifly juga berkongsi rasa teruja apabila diberi peluang bekerjasama dengan dua nama besar dalam industri bagi menghasilkan muzik video (MV) lagu tersebut, yang turut menampilkan pelakon utama filem berkenaan iaitu Tony Eusoff dan Sofia Jane.



MV Sahabat ini juga diarahkan oleh Hafiz Rashid, yang turut merupakan pengarah fotografi bagi filem Mencari Ramlee serta pengarah MV Angkat dan Serumpun.

 

Filem Mencari Ramlee mengangkat tema nostalgia dan penghargaan terhadap legasi seniman agung negara, filem ini mengisahkan Zakaria, seorang peniru gaya (impersonator) P. Ramlee, yang berdepan dengan masalah kewangan dan cabaran hidup.

 

Filem ini turut mengangkat mesej bahawa seni dan warisan muzik seperti yang dibawa oleh P. Ramlee, menjadi inspirasi generasi baharu termasuklah pengarah Megat Sharizal sendiri.

 

Irama dan lagu tak boleh dipisahkan, kalau dipisahkan pincanglah lagu dan rosaklah seni.



Comments


bottom of page