MIFFest 2025 Perkukuh Kolaborasi Serantau dan Antarabangsa
- Ain Najihah
- Apr 18
- 1 min read

Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) edisi ke-8 bakal berlangsung dari 19 hingga 27 Julai 2025, menampilkan pelbagai pembaharuan termasuk tema utama “INFINITY”, kerjasama strategik serta barisan duta festival yang diperbaharui.
Majlis pelancaran yang berlangsung di PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur turut memperkenalkan tiga figura utama sebagai Duta Festival: Bront Palarae (kembali untuk tahun keenam), Siti Saleha dan Daiyan Trisha. Ketiga-tiga mereka melambangkan generasi pencerita baharu yang membawa suara dan aspirasi sinema moden Malaysia.

Tema “INFINITY” yang diangkat tahun ini dirangka untuk meraikan kuasa sinema dalam menyatukan manusia dan menyampaikan harapan tanpa batas. Visual utama festival dihasilkan oleh jurufoto tersohor Hong Kong, Wing Shya, yang terkenal melalui kolaborasinya bersama pengarah Wong Kar Wai.
Salah satu inisiatif utama tahun ini ialah “ASEAN On Screen”, hasil kerjasama MIFFest bersama FINAS sempena Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025. Program ini akan menampilkan karya-karya terbaik Asia Tenggara dan memupuk kerjasama industri filem serantau.
MIFFest juga mengumumkan kerjasama jangka panjang bersama Hong Leong Bank sebagai Bank Rasmi sehingga tahun 2027. Kolaborasi ini menyokong pembangunan sinema tempatan serta memperkasa komuniti kreatif dan penonton generasi baharu.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama antarabangsa, MIFFest turut meraikan ulang tahun ke-25 Festival Filem Eropah (EUFF) bersama Delegasi Kesatuan Eropah. EUFF akan berlangsung dari 20 hingga 27 Julai, menawarkan tayangan khas dan program bertemakan budaya Eropah.
MIFFest juga mengekalkan hubungan kukuh dengan Suruhanjaya Tinggi India dan agensi-agensi kebudayaan Hong Kong seperti HKETO dan FDC untuk terus mempromosikan karya dari rantau tersebut.
Acara pembukaan rasmi MIFFest 2025 akan diadakan di MyTOWN Shopping Centre, manakala sesi tayangan berlangsung di GSC Cinemas.
Comments