top of page

Melodi Santai, Mesej Tajam: Pitahati Dedah Sisi Baharu dengan Ana Yang Punya

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 5 days ago
  • 1 min read


Kumpulan muzik tempatan terkenal, Pitahati, membuka tirai tahun 2025 dengan single terbaharu berjudul Ana Yang Punya (1 Ringgit 2 Ringgit) yang dilancarkan pada 10 Januari. Lagu ini merupakan hasil ciptaan, lirik dan produksi sepenuhnya oleh Pitahati sendiri dengan sentuhan penerbit bersama, Husyairi Hamzah, manakala proses rakaman dan mastering disempurnakan oleh Mokhtar.


Ana Yang Punya menyelitkan unsur kritikan sosial dengan menyindir golongan yang menyalahgunakan kuasa seolah-olah dunia ini milik mereka.


Namun begitu, menurut vokalis Ilham, lagu ini tidak ditujukan kepada mana-mana individu atau pihak secara khusus sekali gus menjadikannya relevan untuk pelbagai situasi dan lapisan pendengar.


“Kami mahu ia menjadi satu peringatan tetapi dalam nada yang santai dan lucu,” ujarnya.


Pitahati juga mengakui bahawa melodi lagu ini mungkin mengingatkan pendengar kepada lagu klasik Riders on the Stormoleh The Doors, namun mereka menegaskan ia bukan hasil tiruan sebaliknya terjadi secara kebetulan dalam proses kreatif mereka.


Dengan gaya yang lebih santai dan lucu, Ana Yang Punya menunjukkan perubahan muzik Pitahati yang berbeza daripada lagu-lagu mereka sebelum ini. Walaupun lebih ringan dari segi nada, kumpulan ini menegaskan kualiti muzik tetap diutamakan.


Sebagai single pembuka untuk album akan datang, Ana Yang Punya dipilih kerana dianggap paling tepat untuk memperkenalkan perubahan gaya Pitahati kepada peminat.


 “Kami hanya berharap pendengar dapat menikmati sisi baharu kami sambil merenung mesej di sebalik lirik,” tambah Ilham.


Ana Yang Punya kini boleh didengari di semua platform penstriman utama dan visualizernya turut tersedia di YouTube. Ikuti Pitahati di media sosial untuk perkembangan terbaru dan nantikan lebih banyak karya menarik dari mereka tidak lama lagi.

コメント


bottom of page