Maybank Challenge Cup 2025: Manchester United Bertemu ASEAN All-Stars di Bukit Jalil!
- Ain Najihah
- 3 days ago
- 2 min read

Kuala Lumpur bakal menjadi saksi perlawanan penuh sejarah apabila gergasi bola sepak dunia, Manchester United, turun ke padang menentang ASEAN All-Stars dalam Maybank Challenge Cup 2025 yang akan berlangsung pada 28 Mei (Rabu), jam 8.45 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Skuad The Red Devils tampil dengan barisan pemain utama termasuk Bruno Fernandes, Casemiro, Christian Eriksen, Rasmus Højlund dan Matthijs de Ligt, bersama pemain muda berbakat dari akademi kelab. Barisan pertahanan pula dibarisi oleh Harry Maguire, Luke Shaw dan Diogo Dalot, manakala posisi penjaga gol diisi oleh Andre Onana yang berpengalaman.
Sementara itu, pasukan ASEAN All-Stars mempertaruhkan gabungan pemain berpengalaman dan bakat muda rantau ini, termasuk wakil tempatan seperti Azam Azmi dan Haziq Nadzli, serta kapten-kapten negara ASEAN seperti Mo Kan (Kemboja) dan Do Duy Manh (Vietnam).
Lebih daripada sekadar aksi bola sepak, perlawanan ini menjadi simbol perpaduan ASEAN. Dengan kerjasama Maybank dan ProEvents, acara ini mengangkat bola sepak sebagai bahasa universal yang menyatukan serantau.
Ejen Perlawanan FIFA dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ProEvents, Julia Kam, menyatakan bahawa ini bukan sekadar peluang untuk menyaksikan Manchester United beraksi secara langsung.
“Ini merupakan detik bersejarah yang bakal tercipta. Maybank Challenge Cup menjadi bukti betapa kuatnya pengaruh bola sepak dalam menyatukan masyarakat, memberi inspirasi serta mengangkat martabat Asia Tenggara ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Presiden Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), Mejar Jeneral Khiev Sameth, turut menyifatkan Maybank Challenge Cup sebagai lambang perpaduan serantau dan satu bentuk penghargaan terhadap budaya bola sepak ASEAN yang semakin berkembang pesat.
“Kehadiran Manchester United ke Asia Tenggara untuk menentang ASEAN All-Stars dilihat sebagai pencapaian besar dan langkah penting dalam memperkukuhkan hubungan serantau menerusi sukan,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub, menegaskan bahawa penganjuran perlawanan ini menjadi satu kebanggaan besar buat FAM. Ia bukan semata-mata sebuah perlawanan, tetapi juga simbol semangat, bakat dan perpaduan serantau yang diraikan melalui bola sepak.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan The Red Devils beraksi secara langsung dalam sebuah perlawanan bersejarah yang akan menyatukan peminat bola sepak. Anda boleh dapatkan tiket di laman rasmi www.myticketempire.com/manumy
Comments