Mawar Rashid Terperangkap dalam Cinta Terlarang dalam Drama Terbaharu “Nikmat Hanya Sesaat” di TV3
- Nurul Safiah
- May 5
- 1 min read

Industri hiburan tempatan bakal dihiasi dengan kemunculan drama Nikmat Hanya Sesaat dengan gandingan mantap oleh Mawar Rashid dan Fadlan Hazim!
Drama ini bakal menemui penonton menerusi Slot Samarinda TV3 bermula 8 Mei 2025, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam. Drama arahan Izuan Mokhtar dan penulisan Amin Shakib ini diterbitkan oleh Art Ornament dalam 20 episod yang dijangka mengundang pelbagai reaksi penonton.
Nikmat Hanya Sesaat mengisahkan Sara, wanita yang terpaksa menjalani kehidupan sebagai pelacur kelas atasan demi menyara keluarganya selepas kematian bapa. Disaluti kemewahan tetapi kosong jiwanya, Sara kemudian bertemu semula dengan cinta pertamanya, Zafrul, yang kini sudah pun bergelar suami orang. Pertemuan semula ini mencetuskan konflik dalaman apabila Sara terpaksa memilih antara menyambung kembali hubungan cinta lama atau mencari ketenangan sejati.

Drama ini turut dibintangi Arash Mohamad, Lisdawati, Sherry Ibrahim, Shasha Abedul dan Mutalib Mubin. Penceritaan menyentuh pelbagai isu sosial termasuk diskriminasi, tekanan ekonomi dan proses keinsafan, menjadikan ia lebih daripada sekadar kisah cinta.
Menurut Mawar Rashid, watak Sara benar-benar menguji emosinya sebagai pelakon.
“Watak ini sangat berat. Saya perlu menyelami sisi gelap seorang wanita yang kelihatan kuat di luar, tapi sebenarnya hancur di dalam. Setiap babak benar-benar menguji jiwa saya. Saya percaya ramai wanita di luar sana yang akan rasa tersentuh dengan perjalanan Sara,” ujarnya.
Penonton boleh menonton episod baharu Nikmat Hanya Sesaat 24 jam lebih awal melalui platform penstriman Tonton di www.tonton.com.my atau aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store!

コメント