top of page

Marsha Milan Dikenali di Peringkat Antarabangsa melalui EQUAL Spotify

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 4 days ago
  • 2 min read


Marsha Milan sekali lagi membanggakan negara apabila wajahnya terpampang di papan iklan ikonik Times Square, New York pada 18 April 2025. Detik bersejarah ini tercetus selepas beliau diumumkan sebagai duta Spotify EQUAL Asia bagi bulan April, satu pengiktirafan besar buat penyanyi yang baru sahaja dinobatkan juara Anugerah Juara Lagu ke-39 itu.


Kemunculan Marsha di pentas global ini bukan sahaja membuktikan kehebatan bakat tempatan, malah menjadikan beliau wajah utama dalam senarai lagu EQUAL Singapore & Malaysia yang menampilkan dua lagunya yang menyentuh jiwa iaitu Hening Rindu dan Tangisan Seorang Pendosa.


Program EQUAL oleh Spotify merupakan inisiatif global yang memberi tumpuan kepada kesamarataan jantina dalam industri muzik, dengan mengetengahkan bakat, suara dan pencapaian artis wanita dari seluruh dunia. Dan kini, giliran Marsha Milan bersinar di pentas antarabangsa.


“Saya rasa macam mimpi. Dari dulu saya mengimpikan untuk muncul di billboard, dan sekarang impian itu jadi kenyataan. Alhamdulillah, seorang gadis dari Sabah kini terpampang di tengah kota New York,” kongsi Marsha dengan penuh rasa syukur.


Lebih membanggakan, Marsha turut diumumkan sebagai salah seorang artis yang bakal membuat persembahan di Festival ROUND (ASEAN-Korea Music Festival) yang dijadualkan berlangsung pada 21 dan 22 Jun di Zepp Kuala Lumpur. Festival berprestij ini mendapat sokongan ASEAN-Korea Cooperation Fund dan bakal menghimpunkan nama-nama besar dari rantau ASEAN.


Bagi Marsha yang sudah hampir dua dekad bertapak dalam industri muzik, kejayaan demi kejayaan ini lahir daripada keikhlasan, disiplin dan kesediaan untuk terus belajar.


 “Industri ini sentiasa berubah, jadi kita juga perlu berkembang tanpa hilang jati diri. Apa yang penting adalah hubungan baik dengan pasukan dan penyokong,” jelasnya.


Marsha berharap pengiktirafan ini mampu memberi inspirasi kepada lebih ramai pencipta lagu dan penyanyi tempatan untuk terus berkarya. 


“Saya percaya, lagu yang baik akan menemukan jalannya sendiri,” tambahnya.


Para peminat kini boleh menikmati vokal memukau Marsha melalui senarai lagu Spotify EQUAL Singapore & Malaysia. Jangan lupa ikuti perkembangan lanjut mengenai Festival ROUND yang merupakan peluang terbaik untuk melihat Marsha bersinar di pentas secara langsung!


Comments


bottom of page