top of page

MAGIS Perkenal Album Debut “Untuk Juwita”, Album Naratif Cinta Dan Kehilangan

  • Writer: Atiqah Halim
    Atiqah Halim
  • 20 hours ago
  • 2 min read
ree

Band city pop tempatan yang semakin mendapat perhatian, MAGIS, rasmi melancarkan album penuh pertama mereka berjudul “Untuk Juwita”. Menggabungkan 10 buah lagu yang memaparkan sisi indah dan perit dalam percintaan, album ini hadir sebagai karya yang dekat dengan realiti anak muda masa kini.


Dianggotai oleh enam pemuzik berbakat Nas selaku vokalis utama, Hilman sebagai vokal kedua, Mursyid di posisi gitar utama, Akmal pada gitar kedua, Yad sebagai pemain bass dan Hariz di bahagian dram MAGIS terus mengekalkan identiti muzik mereka yang unik sejak awal penubuhan. Album ini juga memuatkan kisah benar daripada pengalaman hidup ahli kumpulan sendiri menjadikan setiap lagu lebih jujur dan mudah dirasai pendengar.


Perjalanan album bermula dengan Intro, sebuah instrumental yang membuka ruang untuk pendengar memasuki dunia muzik MAGIS. Seterusnya, Gadis Idaman membawa nuansa ringan tentang keberanian meluahkan perasaan kepada seseorang yang disukai. Emosi berubah lebih berat dalam Lagu Pasal Kena Tinggal Dengan Awek, yang memaparkan kekecewaan akibat dikhianati.


Hanya Teman memfokuskan dilema hubungan yang terhenti sebagai rakan tanpa mampu melangkah lebih jauh. Mesra pula meraikan kebahagiaan pasangan yang sedang melalui fasa harmoni. Turut menarik perhatian ialah Janda, sebuah lagu inspirasi daripada jiran mereka yang bergelar ibu tunggal. Lagu Rembulan mengisahkan cinta yang tidak kesampaian manakala Di Balik Senja membawa pendengar meneroka kisah percintaan jarak jauh.


Menuju ke penutup, Indahnya Bersama membingkai suasana pertemuan dan saat bersama yang sederhana tetapi bermakna. Album ini diakhiri dengan Juwita, lagu pertama yang ditulis oleh MAGIS dan kini dipilih sebagai penutup simbolik untuk keseluruhan karya.


“Untuk Juwita” kini tersedia untuk distrim di Spotify, Apple Music dan semua platform digital utama, menjadikannya satu naskhah wajib buat sesiapa yang ingin menikmati city pop moden dengan sentuhan naratif yang dekat dengan jiwa.

Comments


bottom of page