top of page

Lonjat Lancar Building Block Anak-Anak Sidek, Imbau Nostalgia Animasi 90-an

  • Writer: N
    N
  • 7 minutes ago
  • 2 min read

Bagi generasi yang membesar dengan animasi Anak-Anak Sidek, berita ini memang ada rasa nostalgia yang kuat. Jenama tempatan Lonjat bakal memperkenalkan set building block Anak-Anak Sidek, satu koleksi eksklusif yang diinspirasikan daripada siri animasi ikonik Malaysia yang pernah menghiasi televisyen sekitar penghujung 90-an dan awal 2000-an. Menariknya, set ini bukan sekadar permainan biasa tetapi dihasilkan sebagai satu penghargaan kepada karya animasi tempatan yang pernah menjadi sebahagian daripada zaman kanak-kanak ramai rakyat Malaysia.

Menurut wakil Lonjat, idea menghasilkan set ini tercetus daripada keinginan untuk meraikan animasi tempatan yang mempunyai nilai nostalgia yang kuat. Ramai yang membesar dengan komik dan animasi tersebut, jadi mereka mahu menghidupkan semula kenangan itu dalam bentuk yang lebih interaktif. Bagi peminat lama, ia seperti membawa kembali memori menonton kartun tempatan selepas pulang dari sekolah atau membaca komik kegemaran bersama kawan-kawan.


Untuk yang mungkin terlupa, Anak-Anak Sidek sebenarnya bermula sebagai komik pada tahun 1995 sebelum diadaptasi menjadi siri animasi televisyen. Pada ketika itu, ia antara karya tempatan yang cukup popular dalam kalangan kanak-kanak kerana memaparkan kisah keluarga Sidek yang sarat dengan semangat sukan, persahabatan dan nilai kekeluargaan. Ia juga dianggap antara animasi tempatan yang meninggalkan impak kepada generasi muda pada era tersebut.

Projek building block ini turut melibatkan penerbit asal karya tersebut, Raja Azmi Raja Sulaiman. Menurut Lonjat, idea ini sebenarnya sudah lama berada dalam perancangan sebelum mereka akhirnya membentangkannya kepada beliau. Selepas sesi pembentangan tersebut, Raja Azmi bersetuju untuk bekerjasama dalam menjayakan projek ini. Bagi memastikan keaslian karya terus terpelihara, setiap reka bentuk yang dihasilkan akan ditunjukkan terlebih dahulu kepada beliau sebelum dimuktamadkan.


Set building block Anak-Anak Sidek ini mengandungi kira-kira 400 kepingan dan direka untuk memberikan pengalaman yang mengimbau nostalgia kepada peminat yang membesar dengan komik dan animasi tersebut. Selain menjadi permainan, ia juga berpotensi menjadi koleksi unik buat peminat animasi tempatan dan pengumpul merchandise pop culture Malaysia.

Set ini dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 1 Mei 2026, dan orang ramai boleh membuat pra-tempahan melalui akaun media sosial rasmi Lonjat di Instagram dan Threads @lonjat.rasmi. Kalau anda antara generasi yang pernah membesar dengan animasi ini, mungkin ini peluang untuk kembali menyelami nostalgia zaman kanak-kanak kali ini dalam bentuk yang boleh dibina sendiri.

Comments


bottom of page