Loco Bakal Gegarkan Zepp KL dengan 2025 LOCO CONCERT: SCRAPS TOUR in Kuala Lumpur November Ini!
- kaypohmedia
- 1 day ago
- 2 min read
Berita baik buat peminat K-rap di Malaysia! Bintang hip-hop terkenal Korea Selatan, Loco, bakal mengadakan konsert solo pertamanya di Kuala Lumpur menerusi jelajah baharu 2025 LOCO CONCERT: SCRAPS TOUR in Kuala Lumpur. Konsert yang ditunggu-tunggu ini akan berlangsung pada 2 November 2025 (Ahad), jam 7 malam di Zepp Kuala Lumpur, dianjurkan oleh Starry Live Entertainment dan The WonderLand+.

Jelajah ini diadakan bersempena dengan pelancaran album studio ketiganya, Scraps — album pertama di bawah label Locomotive, yang diasaskan oleh Loco sendiri. Album ini menampilkan 12 buah lagu eksklusif dengan gaya penceritaan unik, termasuk kolaborasi bersama Jordan Ward, 1MILL dan Feby Putri.
Selain Kuala Lumpur, Loco turut akan menjelajah ke beberapa bandar utama Asia seperti Taipei, Bangkok, Singapura dan Hong Kong.
Nama Loco mula meledak selepas menjuarai musim pertama rancangan popular “Show Me the Money” (2012). Sejak itu, beliau dikenali sebagai antara ikon K-rap dengan lagu-lagu hit seperti No More, You Too dan Don’t Give It to Me.
Tidak ketinggalan, Loco pernah berkolaborasi dengan ramai artis besar termasuk Hwasa (MAMAMOO), Crush dan Gray, menjadikannya antara figura penting dalam industri hip-hop Korea.
Konsert Loco sering digambarkan sebagai intim, bersemangat dan penuh interaksi dengan peminat. Karisma serta penguasaan pentasnya menjadikan setiap persembahan bukan sekadar hiburan visual, tetapi juga pengalaman peribadi yang memukau.

Tiket akan mula dijual pada Jumaat, 5 September 2025, jam 11 pagi menerusi my.bookmyshow.com dengan harga seperti berikut (tertakluk pada fi tiket):
VIP BOX (8 Orang): RM5,500
VIP (Berdiri): RM648
CAT 1 (Berdiri/Duduk): RM488
CAT 2 (Duduk): RM348
Setiap kategori tiket disertakan dengan pelbagai faedah peminat termasuk sesi raptai (soundcheck), foto berkumpulan, kad cenderahati, sesi ucap selamat tinggal (goodbye session) serta poster bertandatangan untuk peminat bertuah.
Dengan reputasi sebagai penghibur pentas yang hebat dan barisan lagu yang sudah terbukti hit, 2025 LOCO CONCERT: SCRAPS TOUR in Kuala Lumpur dijangka menjadi salah satu konsert K-rap paling hangat tahun ini di Malaysia.

Maklumat lanjut dan pengumuman terkini boleh didapati melalui laman rasmi penganjur di Instagram Starry Live Entertainment dan Facebook The WonderLand+.
Comments