Lee Soo-hyuk Gegarkan Pavilion KL, Bukit Bintang Sesak Lebih 2,000 Peminat Hadir!
- Nurul Safiah
- 1 day ago
- 1 min read

Bukit Bintang bertukar menjadi lautan manusia apabila aktor terkenal Korea Selatan, Lee Soo-hyuk, muncul di acara Galaxy Unfolds Roadshow anjuran Samsung.
Acara ini berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur semalam dan kehadirannya sempena tayangan eksklusif drama thriller terbaharu, S LINE, nyata mencetuskan fenomena luar biasa!
Lebih 2,000 peminat setia membanjiri ruang legar utama Pavilion KL seawal jam 2 petang walaupun bintang itu dijadualkan tiba pada jam 5 petang.
Suasana menjadi semakin sesak dan hangat apabila peminat-peminat dari seluruh negara termasuk Johor dan Pulau Pinang berkumpul dengan sepanduk pelbagai saiz, melaungkan nama bintang pujaan mereka.

Tepat jam 5 petang, kemunculan Lee Soo-hyuk disambut dengan jeritan histeria dan tepukan gemuruh yang seakan menggoncang seluruh pusat beli-belah.
Ada yang melompat, menangis terharu, malah berdiri di setiap penjuru, dari eskalator hingga ke tingkat atas, semata-mata untuk melihat kelibat idola mereka dari dekat.
“Saya sangat gembira akhirnya bertemu peminat Malaysia. Saya sangat gementar sekarang. Terima kasih kerana menyokong saya,” katanya sambil tersenyum dan melambai ke arah peminat.
Acara ini turut memperkenalkan S LINE, drama thriller yang kini ditayangkan secara eksklusif di Tonton.
Fenomena Lee Soo-hyuk membuktikan pengaruh bintang Korea di Malaysia masih kukuh dan terus berkembang.
Pavilion KL semalam bukan sekadar lokasi acara, ia menjadi saksi keterujaan dan cinta yang mendalam antara peminat Malaysia dan selebriti Korea yang mereka dambakan.

Comments