Latihan Pestapora Malaysia 2026 Lengkapkan Barisan Artis Fasa 2, Tipe-X Hingga Ruffedge Sah Sertai
- N

- 6 hours ago
- 2 min read
Kurang sebulan sebelum berlangsung, Latihan Pestapora Malaysia 2026 terus mencuri perhatian peminat muzik apabila mengumumkan barisan artis Fasa 2 yang melengkapkan senarai persembahan festival itu. Kali ini, lima nama popular dari Malaysia dan Indonesia disahkan bakal memeriahkan pentas Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026, sekali gus menjadikan festival ini antara acara muzik serumpun yang paling dinantikan tahun ini.

Antara nama yang diumumkan ialah Tipe-X dan Last Child dari Indonesia, manakala wakil Malaysia pula terdiri daripada Ruffedge, Lah Ahmad serta DJ Disko Santan & Friends. Kehadiran mereka melengkapkan barisan artis yang bakal berkongsi pentas dalam festival muzik yang menggabungkan pelbagai genre dan budaya dari dua negara berjiran.
Apa yang menarik perhatian ramai pastinya kemunculan Last Child, yang dijadualkan membuat persembahan buat pertama kali di Malaysia. Bagi peminat muzik Indonesia, peluang ini semestinya sesuatu yang dinanti-nantikan selepas kumpulan itu mencipta populariti menerusi pelbagai lagu yang dekat di hati pendengar.
Dalam masa sama, Tipe-X dijangka menghidupkan suasana festival dengan irama ska yang bertenaga. Selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik Indonesia, kumpulan ini masih mempunyai kelompok peminat yang cukup setia, termasuk di Malaysia.
Buat peminat muzik tempatan pula, kehadiran Ruffedge dan Lah Ahmad pasti mengimbau nostalgia. Kedua-dua nama ini pernah menghasilkan pelbagai lagu hit yang menjadi siulan ramai dan masih mendapat tempat dalam kalangan pencinta muzik R&B tempatan sehingga hari ini.
Festival ini turut dimeriahkan dengan DJ Disko Santan & Friends, yang dijangka memastikan suasana kekal meriah menerusi seleksi muzik sepanjang acara berlangsung.
Menariknya, Latihan Pestapora Malaysia 2026 bukan sekadar menawarkan persembahan muzik. Festival selama 12 jam itu akan menghimpunkan 15 artis Malaysia dan Indonesia, selain menyediakan pelbagai aktiviti sampingan yang memberi pengalaman lebih lengkap kepada pengunjung.

Penganjur turut mengambil kira keselesaan pengunjung dengan menyediakan sebotol air mineral percuma ketika memasuki festival serta stesen isi semula air bagi memastikan orang ramai kekal segar sepanjang acara. Selain itu, pelbagai vendor makanan dan minuman juga akan berada di lokasi bagi memenuhi selera pengunjung.
Gabungan muzik, makanan, aktiviti dan suasana festival yang santai menjadikan acara ini bukan sekadar tempat menonton persembahan, tetapi ruang untuk peminat muzik dari Malaysia dan Indonesia berkumpul serta meraikan minat yang sama.

Bagi yang masih merancang untuk hadir, jualan tiket kini memasuki kategori General Admission Phase 2 dengan harga RM249. Penganjur turut menawarkan promosi Bundle Pesta, di mana pembelian empat tiket General Admission akan menerima satu tiket percuma, sesuai bagi mereka yang ingin datang bersama keluarga atau rakan-rakan. Sementara itu, tiket kategori tempat duduk masih dijual tetapi bilangannya semakin terhad.
Dengan pengumuman lengkap barisan artis ini, Latihan Pestapora Malaysia 2026 dilihat semakin bersedia untuk menjadi antara festival muzik terbesar yang menghubungkan peminat Malaysia dan Indonesia. Kalau anda memang kaki festival atau peminat muzik Nusantara, acara ini mungkin sudah patut masuk dalam kalendar Ogos anda.











Comments