Lagu ‘Balik Kampung’ Bukan Lagu Raya, Tapi Tetap Jadi Lagu Wajib Setiap Aidilfitri!
- Nurul Safiah
- Apr 3
- 1 min read

Setiap kali musim perayaan, pasti lagu Balik Kampung nyanyian Datuk Sudirman Arshad berkumandang di radio, pusat beli-belah, dan dalam kenderaan perantau yang dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.
Tapi pernahkah anda perasan? Sebenarnya, lagu ini langsung tak menyebut perkataan ‘Raya’!
Lagu Balik Kampung dicipta pada 1984 bukan sebagai lagu Hari Raya, tetapi sebagai lagu menggalakkan perantau pulang ke kampung tercinta.
Lebih menarik, lagu ini juga dikatakan bertujuan mengajak rakyat Malaysia pulang untuk mengundi!
Lagu ini merupakan sebahagian daripada album kelapan Sudirman, Lagu Dari Sebuah Bilik, dengan muzik disusun oleh Allahyarham S. Atan (Hashim Said). Melodinya adalah hasil gabungan S. Atan dan Sudirman, manakala liriknya sepenuhnya ditulis oleh Sudirman sendiri.
Pada asalnya, lagu ini hanyalah lagu biasa. Namun, selepas dimasukkan dalam album kompilasi Hari Raya terbitan EMI Records, lagu ini tiba-tiba meletup dan menjadi kegemaran ramai setiap kali musim perayaan!
Melodi ceria dan ‘catchy’ yang mudah diingati membuatkan lagu ini terus diputarkan setiap kali Aidilfitri tiba walaupun langsung tiada perkataan ‘Raya’ dalam liriknya!
Pada awal 2000-an, kumpulan New Boyz yang dianggotai Tomok merakamkan semula lagu ini.
Namun ia tetap tidak dapat menandingi keunikan dan ‘feel’ versi asal Sudirman yang terus menjadi pilihan rakyat Malaysia sehingga ke hari ini.
Selepas lebih 40 tahun, lagu ini masih segar didengar dan kini menjadi sinonim dengan fenomena penghijrahan besar-besaran warga kota ke kampung halaman setiap kali musim perayaan.
Comments